Donald Trump
WASHINGTON: Iran didakwa menyusun senarai pembunuhan membabitkan beberapa tokoh utama Amerika Syarikat, termasuk Presiden AS Donald Trump yang dikatakan berada di kedudukan teratas, menurut bekas Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, John Bolton.
Menurut Utusan Malaysia, Bolton yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Trump dari 2018 hingga 2019, mendakwa rancangan itu dibuat sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan jeneral kanan Iran, Qasem Soleimani, dalam serangan udara Amerika Syarikat di Baghdad, Iraq pada tahun 2020.
Serangan tersebut, yang diperintahkan sendiri oleh Trump, turut membunuh beberapa pemimpin tentera proksi Iran yang lain dan kini, menurut Bolton, Teheran masih menyimpan kemarahan dan merangka tindakan balas dalam bentuk pembunuhan bersasar.
“Mereka masih marah terhadap pembunuhan Soleimani. Saya sendiri turut berada dalam senarai itu, tetapi Trump adalah sasaran utama,” katanya dalam temu bual bersama Sky News.
Bolton turut mendakwa Iran menjalankan operasi pengintipan dan serangan melalui rangkaian keganasan yang meluas di Eropah dan Amerika Syarikat.
Katanya, penahanan beberapa individu di United Kingdom sebelum ini melibatkan rakyat Iran, termasuk seorang yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Iran.
Ia turut dikaitkan dengan satu cubaan pembunuhan terhadap Trump yang berlaku di AS tahun lalu, meskipun berjaya digagalkan.