LONDON: Bandaraya Copenhagen di Denmark secara rasmi dinobatkan sebagai bandar paling gembira di dunia tahun ini, menurut laporan tahunan Happy City Index.
Menurut Utusan Malaysia, indeks berprestij itu menilai tahap kebahagiaan penduduk berdasarkan beberapa faktor utama seperti tadbir urus dan penglibatan sivik, ekonomi, kesihatan, alam sekitar serta mobiliti.
Copenhagen muncul di kedudukan teratas dengan mengumpul 1,039 mata kebahagiaan, mengatasi bandar-bandar utama lain di peringkat global.
Menurut laporan tersebut, Copenhagen bukan sahaja menjadi pusat penting dalam aspek kebudayaan, pentadbiran dan kegiatan ekonomi, malah turut menunjukkan komitmen tinggi terhadap kelestarian alam sekitar manakala sebanyak 69 peratus pengangkutan di bandar itu adalah mesra alam, sekali gus menjadikannya contoh bandar hijau yang cemerlang.
Menariknya, Copenhagen juga memiliki sebuah Muzium Kebahagiaan tersendiri yang digelar sebagai ‘muzium kecil tentang perkara-perkara besar dalam hidup’, bertujuan mendidik pengunjung mengenai rahsia kebahagiaan rakyat Denmark.
Di tempat kedua ialah Zurich, Switzerland yang memperoleh 993 mata di mana bandar terbesar di negara itu terkenal dengan kekuatan ekonominya, kualiti hidup yang tinggi serta inisiatif kelestarian yang mantap.
Singapura muncul sebagai bandar bukan Eropah yang menduduki tempat tertinggi, berada di tempat ketiga dengan 979 mata di mana negara kota itu mendapat pujian atas universiti bertaraf dunia, tahap penglibatan sivik yang tinggi serta kadar pengangguran yang sangat rendah.
Satu lagi bandar Denmark, Aarhus, berada di tangga keempat dengan 958 mata, diikuti Antwerp, Belgium (956 mata) di tempat kelima manakala Seoul pula menduduki tempat keenam dengan 942 mata.
Walaupun London mencatat markah tinggi iaitu 842 mata dan diiktiraf kerana rangkaian pengangkutannya yang cekap dan meluas, ia hanya menduduki tempat ke-31, menjadikannya bandar paling bahagia di United Kingdom (UK) bagaimanapun merosot sedikit dalam kedudukan akibat kadar obesiti yang tinggi iaitu 26 peratus.
Sementara itu, New York mencatat kedudukan tertinggi dalam kalangan bandar di Amerika Syarikat dengan berada di tempat ke-17 dan memperoleh 902 mata di mana bandar itu mendapat skor tinggi dalam aspek pendidikan, penglibatan sivik dan kelestarian, namun sedikit tercicir dalam aspek penjagaan kesihatan, terutama disebabkan kadar obesiti yang tinggi iaitu 41.9 peratus. -AGENSI
Bandar paling gembira 2025:
1. Copenhagen, Denmark
2. Zurich, Switzerland
3. Singapura
4. Aarhus, Denmark
5. Antwerp, Belgium
6. Seoul, Korea Selatan
7. Stockholm, Sweden
8. Taipei, Taiwan
9. Munich, Jerman
10. Rotterdam, Belanda
11. Vancouver, Kanada
12. Vienna, Austria
13. Paris, Perancis
14. Helsinki, Finland
15. Aalborg, Denmark
16. Berlin, Jerman
17. New York, AS
18. Dresden, Jerman
19. Brussels, Belgium
20. Geneva, Switzerland
21. Porto, Portugal
22. Barcelona, Sepanyol
23. Oslo, Norway
24. Dublin, Ireland
25. Milan, Itali
26. Roskilde, Denmark
27. Reykjavik, Iceland
28. Auckland, New Zealand
29. Adelaide, Australia
30. Minneapolis, AS
31. London, UK
Sumber: Happy City Index