Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian teguh bahawa formula asal pemberian khas 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan sepenuhnya tanpa kompromi.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, adalah tidak tepat bagi mana-mana pihak untuk mendakwa Kerajaan Negeri telah bertolak ansur dalam isu hak perlembagaan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa tuntutan itu berlandaskan Perkara 112C dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan hak mutlak rakyat Sabah.
“Kerajaan Sabah amat menyedari amaun Pemberian Khas yang diterima ketika ini masih jauh lebih rendah berbanding jumlah yang sepatutnya diperoleh berdasarkan formula asal,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, malam tadi.
Menjelaskan perkembangan tuntutan tersebut, Masidi mendedahkan bahawa sejak 48 tahun lalu, Sabah hanya menerima kadar tetap RM26.7 juta setahun tanpa sebarang kenaikan.
Bagaimanapun, di bawah pentadbiran semasa, jumlah itu berjaya ditingkatkan secara signifikan kepada RM125 juta pada 2022, diikuti RM300 juta pada 2023 dan RM306 juta bagi tahun 2024.
Tahun lalu, bayaran interim tersebut telah melonjak kepada RM600 juta hasil daripada pendekatan rundingan berstrategi dengan Kerajaan Persekutuan.
Masidi menjelaskan peningkatan bayaran interim ini adalah pengaturan sementara (interim arrangement) dan bukannya amaun mutlak yang muktamad.
“Bayaran ini diterima tanpa prejudis terhadap hak Kerajaan Sabah untuk terus menuntut ‘lost years’ serta baki mengikut formula 40 peratus yang asal,” tegas beliau.
Mengenai status rundingan terkini, beliau memaklumkan Jawatankuasa Rundingan Peringkat Pegawai telah ditubuhkan pada 17 November 2025 bagi memperincikan aspek teknikal.
Dalam siri mesyuarat yang diadakan pada Januari hingga Mac 2026, kedua-dua pihak telah membentangkan anggaran hasil bagi tempoh 1974 sehingga 2025.
Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju untuk berkongsi data penting bagi membolehkan verifikasi data dilakukan secara telus.
“Sekiranya data sebenar tidak lengkap bagi tahun-tahun terdahulu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggunakan pendekatan anggaran,” jelasnya.
Masidi turut menggesa agar bayaran dibuat segera bagi komponen hasil yang tidak dipertikaikan sementara menunggu penyelesaian isu ‘lost years’.
Beliau juga menegaskan bahawa Pemberian Khas ini sama sekali tidak boleh digantikan dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan Persekutuan yang biasa.
Satu lagi tuntutan penting ialah mewujudkan peraturan rasmi bagi memastikan hasil syarikat yang beroperasi di Sabah tetapi diisytihar di luar negeri dapat diambil kira dalam pengiraan 40 peratus.
Beliau menyeru semua pihak, baik Kerajaan mahupun pembangkang, untuk berdiri teguh dalam perjuangan yang sama demi memastikan hak 40 peratus Sabah dikembalikan sepenuhnya.
Menyentuh prestasi perbelanjaan, Masidi memaklumkan setakat ini RM1.6 bilion atau 24.41 peratus peruntukan Persekutuan di Sabah telah dibelanjakan.
Secara keseluruhan, RM5.6 bilion telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan 1,239 program dan projek pembangunan di negeri ini.
Bagi perbelanjaan negeri, Sabah memperuntukkan RM6.4 bilion untuk perbelanjaan perbekalan tahun 2026, dengan RM1.4 bilion dikhaskan untuk pembangunan.
Setakat 31 Mac 2026, perbelanjaan mengurus negeri telah mencapai 21 peratus, manakala perbelanjaan pembangunan berada pada tahap 10 peratus.
Masidi turut menyentuh mengenai komitmen kerajaan terhadap sektor pertanian dan luar bandar dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM559.85 juta kepada MAFFI.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima RM317.72 juta bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman terus terbela.
Mengenai pengurusan hutang, beliau mendedahkan jumlah Pinjaman Persekutuan yang telah matang dan perlu dibayar balik adalah sebanyak RM3.2 bilion.
Bagaimanapun, Sabah mengekalkan rekod sebagai “pembayar yang baik” (good paymaster) dengan purata bayaran balik RM220 juta setahun mengikut jadual.
Beliau menjelaskan pinjaman ini diperlukan untuk membiayai aset strategik jangka panjang seperti projek bekalan air dan pembetungan yang menelan kos berbilion ringgit.
Dalam usaha meringankan beban rakyat, kementeriannya juga sedang mengkaji implikasi kewangan cadangan subsidi elektrik bersasar sebanyak 20 peratus.
Kajian awal menunjukkan pemberian diskaun elektrik kepada semua kategori pengguna akan melibatkan kos sebanyak RM401 juta kepada Kerajaan.
Masidi turut menyentuh transformasi ekonomi Sabah yang kini beralih kepada sektor tenaga boleh baharu, pelancongan dan Ekonomi Biru.
































