Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) melalui agensi-agensinya akan terus melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif bagi memperkukuh ekonomi negeri.
Menterinya merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata langkah itu merangkumi pembangunan perindustrian, keusahawanan serta pengangkutan sebagai usaha memperkasa pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
“Pelaksanaan pelbagai projek dan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi negeri, termasuk menyediakan peluang perniagaan, pekerjaan serta meningkatkan daya saing Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dijangka menyiapkan empat projek premis perniagaan tahun ini, termasuk di Pulau Bum-Bum, Matunggong, Weston dan Padas Damit, Beaufort.
Katanya, dua lagi projek di Tungku, Lahad Datu dan Pitas dijangka siap sepenuhnya pada 2027, selain dua projek baharu akan dimulakan di Sook dan Kota Kinabatangan.
“SEDCO juga merancang mewujudkan Pusat Inkubator Perniagaan baharu di Bandar Baru Penampang bagi menyokong pembangunan usahawan tempatan melalui penyediaan fasiliti perniagaan yang lebih komprehensif,” katanya.
Menurutnya, pelbagai program pembangunan keusahawanan turut dilaksanakan, termasuk latihan, pensijilan halal dan Program Tunas Niaga yang melibatkan kira-kira 1,000 pelajar di 40 sekolah menengah di seluruh Sabah.
Sementara itu, katanya, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd akan terus memperkukuh daya saing kawasan perindustrian dengan menarik pelaburan berimpak tinggi serta membangunkan Kilang Sedia Bina (RBF6) bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“KKIP juga sedang melaksanakan pembangunan perumahan bagi menyokong kesejahteraan komuniti setempat, termasuk pembinaan unit apartmen dan rumah teres,” katanya.
Ewon berkata, POIC Lahad Datu pula memberi tumpuan kepada pembangunan Zon Bebas serta memperkukuh industri biojisim kelapa sawit melalui pembangunan platform pengumpulan biomas secara bersepadu.
Menurutnya, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) terus menunjukkan perkembangan positif dengan komitmen pelabur utama, selain usaha memperkukuh infrastruktur utiliti bagi menyokong keperluan industri berskala besar.
Dalam sektor pelabuhan, beliau berkata kementerian akan memperkukuh pembangunan pelabuhan melalui pendigitalan, peningkatan kapasiti infrastruktur serta penyelarasan operasi bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Katanya, lapan langkah interim turut dilaksanakan bagi menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, termasuk penyediaan kawasan tambahan kontena, pelaksanaan sistem tempahan kenderaan serta pengurangan tempoh penyimpanan kontena.
“Usaha ini penting bagi memastikan pelabuhan Sabah kekal cekap, berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah akan melaksanakan beberapa projek pembangunan termasuk menaik taraf kemudahan di Terminal Jeti Menumbok serta pembinaan jeti pontoon di Karakit.
Ewon berkata, Jabatan Keretapi Negeri Sabah pula akan menambah sebuah lokomotif baharu tahun ini, selain menjalankan kajian pembinaan laluan kereta api yang menghubungkan Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar.
“Langkah ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan serta menyokong pembangunan logistik negeri secara menyeluruh,” katanya.






























