Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan beberapa isu pendidikan Sabah dalam perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk reformasi pendidikan STEM, penyelesaian sekolah daif serta pembinaan SMK Nabalu.
Madius mendesak KPM memperbaharui pendekatan pengajaran Sains bagi meningkatkan minat dan penguasaan murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memandangkan pelaksanaan Dasar 60:40 selama 56 tahun masih belum mencapai sasaran.
Katanya, enrolmen STEM pada 2024 hanya mencatatkan 50.83 peratus, manakala skor Sains Malaysia dalam PISA 2025 ialah 419 mata berbanding purata OECD sebanyak 482 mata.
“Pendekatan pengajaran Sains perlu diperbaharui melalui kaedah Inquiry-Based Science Education (IBSE), yang memberi peluang kepada murid untuk bertanya, menyiasat dan mencari jawapan sendiri, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan,” katanya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO dan mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut mengimbas usaha penubuhan Pusat STEM Nasional oleh MOSTI bersama KPM suatu ketika dahulu berpandukan model National STEM Learning Centre di York, United Kingdom.
Beliau meminta penjelasan mengenai perkembangan usaha menghidupkan semula pusat berkenaan serta mencadangkan peruntukan khusus bagi pelaksanaan Dasar 60:40, berserta KPI tahunan yang mengukur peningkatan minat, penguasaan Sains dan enrolmen murid.
Katanya, keperluan melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang perubatan dan kejuruteraan amat penting, khususnya bagi memenuhi keperluan pembangunan Sabah.
Dalam isu infrastruktur pendidikan pula, Madius membangkitkan keperluan mendesak untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sabah, termasuk mempercepatkan pembinaan semula sekolah yang mempunyai bangunan pada Skala 6 dan Skala 7.
Beliau berkata sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 259 sekolah di Sabah mempunyai bangunan Skala 7, manakala 332 sekolah lagi berada pada Skala 6.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan mengenai pengurangan peruntukan Program Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak sebanyak RM21.95 juta serta peruntukan Perolehan Tanah Pendidikan sebanyak RM55.53 juta, memandangkan keperluan pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah masih mendesak.
Madius yang juga ADUN Tamparuli, turut meminta KPM memberikan penjelasan mengenai tarikh tender pembinaan semula SMK Tenghilan dan SMK Tamparuli serta sasaran penyelesaian kedua-dua projek berkenaan.
Beliau turut membangkitkan keperluan pembinaan jejantas di hadapan SK Pekan Tamparuli bagi meningkatkan keselamatan murid dan pengguna jalan raya, memandangkan kemalangan maut pernah berlaku di lokasi tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius mendesak KPM memberikan keputusan muktamad berhubung pembinaan SMK Nabalu yang telah dirancang lebih 10 tahun lalu.
Katanya, projek berkenaan telah diluluskan pada 2023, tapak telah diperoleh dan peruntukan juga telah disediakan, namun pelaksanaannya masih berdepan kekangan berkaitan kos pemotongan bukit dan kerja perlindungan cerun.
“Pembinaan SMK Nabalu amat diperlukan bagi menampung keperluan murid daripada 10 sekolah rendah di sekitar Pekan Nabalu,” katanya.
Beliau berkata keperluan sekolah baharu itu juga semakin mendesak berikutan kesesakan di SMK Tenghilan, SMK Tamparuli dan SMK Tun Fuad Stephens.
Sebagai alternatif, Madius mencadangkan KPM mempertimbangkan pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif K11 atau K9, dengan keutamaan kepada model K11, sekiranya pendekatan itu dapat mempercepatkan realisasi projek berkenaan.
Beliau berkata Pusat Khidmat Parlimen Tuaran telah menetapkan 11 Disember 2026 untuk mengadakan sesi libat urus di SK Giok dan memohon Menteri Pendidikan hadir sendiri bagi meninjau keadaan tapak serta mendengar pandangan ibu bapa.
Madius menegaskan bahawa kaedah pelaksanaan boleh dibincangkan secara fleksibel, namun matlamat pembinaan sekolah itu mesti dicapai.
“Binalah SMK Nabalu dengan menggunakan peruntukan yang sudah tersedia.
“Tuaran mahukan keputusan muktamad serta tarikh pembinaan dimulakan dan disiapkan,” katanya.
































