Bryan bersama barisan Randawi Tavantang Kaamatan, para peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana program Minggu Gema Bahasa Ibunda di SIDMA College
KOTA KINABALU: Naib Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026 Bryan Nickolson Jacob merealisasikan komitmen manifestonya dalam memartabatkan bahasa ibunda dan warisan budaya menerusi program Ogirot Boros, Ogirot Tinaru (Gema Bahasa Ibunda).
Program yang berlangsung dari 23 hingga 26 November itu dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Bahasa Kadazan Dusun (BKD), SIDMA College, sebagai sebahagian daripada inisiatif manifesto Bryan berteraskan aspirasi “Budaya Kita, Masa Depan Kita”.
Inisiatif itu memberi penekanan kepada pemeliharaan budaya sebagai akar jati diri, pemerkasaan belia sebagai pemangkin perubahan serta penglibatan komuniti dalam melestarikan warisan Sabah.
Antara pengisian program ialah bengkel asas bahasa ibunda, pertandingan Manangon, Monisui, Hiis, BBM, Pialaan Takanon Kaubasanan serta pelbagai aktiviti kebudayaan yang memberi peluang kepada golongan muda untuk mengenali, mempelajari dan menghayati keunikan warisan masyarakat Kadazan Dusun.
Melalui inisiatif itu, Bryan mahu memperkukuh kesedaran bahawa bahasa ibunda bukan sekadar medium komunikasi, malah lambang identiti, sejarah dan kebanggaan sesuatu bangsa yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
Pelaksanaan manifesto itu turut mencerminkan peranan pemegang gelaran Randawi Tavantang Kaamatan yang bukan hanya terhad kepada pentas pertandingan, tetapi turut membawa tanggungjawab sebagai ikon belia dan penggerak budaya yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.
Kerjasama dengan Kelab Bahasa Kadazan Dusun SIDMA College juga menjadi platform penting dalam menghubungkan golongan belia, institusi pendidikan dan komuniti menerusi usaha pemeliharaan bahasa serta kebudayaan.
Bryan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan, sekali gus melahirkan generasi muda yang berbangga dengan identiti sendiri serta berperanan aktif dalam memastikan kelestarian warisan budaya Sabah.
.
































