KOTA KINABALU (Bernama): Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan di Tawau, Semporna dan Telupid petang ini selepas mengalami gangguan berikutan talian penghantaran dari Pantai Barat terjejas.
Dalam kenyataan hari ini, Sabah Electricity Sdn Bhd memaklumkan kawasan utama dipulihkan di Tawau merangkumi Pejabat Klinik Kesihatan (KKM) dan Kuarters KKM, Taman Ambar Park, Taman Kuhara Jaya, Taman Hilltop Jalan Kuhara dan Pasaraya Hilltop.
“Kawasan lain ialah Kem Angkatan Tentera Bersatu dan Kem Askar Wataniah 516, Taman Ria 1 hingga 9, Uni Park Industri, Taman Jen Loong dan Taman Bunga Tulip, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, SMK Holy Trinity dan Sekolah Kebangsaan Holy Trinity serta Komersial Gaya, SUDC Komersial Jalan Kuhara, dan Hotel Promenade.
“Kawasan utama dipulihkan di Semporna pula termasuk Hospital Besar Semporna dan kuarters, Bandar Seri Melur serta kawasan perkampungan air dan pesisir termasuk Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji dan Kampung Air manakala di Telupid melibatkan kawasan Maxis Batu 4, Kampung Gaab dan Kampung Gansad 01,” menurut kenyataan itu.
Menurut Sabah Electricity, pihaknya amat menghargai kesabaran pengguna dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami sepanjang tempoh gangguan bekalan.
Sementara itu, pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah mitigasi serta tindakan segera bagi memastikan kesalinghubungan telekomunikasi di Pantai Timur Sabah terus terpelihara susulan gangguan bekalan elektrik itu.
Langkah mitigasi itu merangkumi pengaktifan sambungan sandaran Starlink di 18 tapak kritikal serta penempatan set janakuasa bergerak dan berkongsi di 20 lokasi.
Sabah Electricity turut berkongsikan senarai kesalinghubungan hotspot bagi memenuhi keperluan kesinambungan perkhidmatan telekomunikasi.
Selain itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkongsi senarai collector sites di Pantai Timur Sabah untuk dijadikan keutamaan pemulihan.
Pasukan berkaitan juga melaksanakan mobilisasi set janakuasa secara berperingkat ke tapak keutamaan, termasuk lokasi kritikal dan collector sites
Dalam pada itu, Sabah Electricity melaksanakan catuan bekalan elektrik secara bergilir di Pantai Timur Sabah hari ini berikutan kapasiti penjanaan setempat yang terhad susulan insiden menara penghantaran T313.
Pelaksanaan catuan bergilir itu membolehkan lebih ramai pengguna menerima bekalan elektrik, mengekalkan kestabilan sistem serta mengelakkan gangguan bekalan yang lebih meluas. — BERNAMA
































