Jamawi ketika membaca teks penggulungan pada hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) sedang mempergiat usaha memastikan keterjaminan makanan melalui Program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) serta Inisiatif Kebun Dapur.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program ini bertujuan mencapai hala tuju sekuriti makanan negeri selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS3).
Menurut beliau, kementerian kini dalam proses menggubal Dasar Pertanian Negeri Sabah Keempat (DPNS4) yang akan merangkumi tempoh pembangunan dari tahun 2027 sehingga 2036.
“Program RAER yang diluluskan pada 2025 kini diperkasakan melalui kerjasama dengan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) bagi menyediakan bantuan perniagaan kepada anak muda yang berminat dalam bidang pertanian.
“Kemudahan pinjaman yang disediakan adalah berjumlah RM50,000 ke bawah tanpa sebarang faedah bagi menggalakkan penglibatan aktif dalam sektor tersebut,” katanya ketika menggulung untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Jamawi menjelaskan Inisiatif Kebun Dapur pula menjadi platform utama untuk meningkatkan sosioekonomi golongan petani, penternak, dan nelayan di peringkat akar umbi.
“Inisiatif ini menjurus kepada pengeluaran hasil pertanian merangkumi tanaman, perikanan, dan ternakan secara lestari menggunakan ruang di belakang kediaman dan teknologi moden,” katanya.
Beliau yakin langkah ini mampu mengurangkan kos hidup rakyat, khususnya perbelanjaan harian dapur, selain menjana pendapatan melalui jualan lebihan hasil.
Bagi menyokong pengusaha, Kerajaan telah membuka kira-kira 18 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di seluruh Sabah untuk mengumpul lebihan hasil daripada peserta kebun dapur.
Mengenai industri padi, Jamawi mengakui tahap sara diri (SSL) Sabah masih rendah iaitu sekitar 20 peratus berbanding purata kebangsaan sebanyak 60 peratus.
Katanya, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) menyasarkan peningkatan pengeluaran daripada 3.5 tan kepada 6 tan per hektar melalui penggunaan benih sah TR8 dan TR11 serta mekanisasi.
Pelan lima tahun (2026-2030) turut merangkumi pembukaan semula 3,000 hektar sawah padi terbiar selain pembangunan kawasan padi tanah kering dan huma, tambahnya.
Dalam subsektor perikanan, beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah (DOF) melaksanakan program jangka panjang untuk mengukuhkan kapasiti pengusaha akuakultur marin dan air tawar.
Kementerian turut memohon peruntukan persekutuan bagi Program Transformasi Sistem Akuakultur (TSAPP) dan Pemerkasaan Agromakanan Negara.
Bagi sektor penternakan, Jamawi berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) menekankan pengukuhan kapasiti pengeluaran tempatan baka ruminan bagi mengurangkan kebergantungan import.
Katanya, Program Transformasi Industri Tenusu di bawah RMKe-13 menyasarkan pengeluaran susu segar sebanyak 12 juta liter setahun menjelang 2030 dengan populasi 10,000 ekor lembu tenusu.
Menyentuh industri kelapa sawit, beliau berkata, Sabah Oil Palm Industry Authority (SOPIA) telah ditubuhkan secara rasmi dan mula beroperasi dengan pelantikan Pengurus Besar pada Mac 2026.
Mengenai infrastruktur, MAFFI komited menaik taraf jalan-jalan pertanian di daerah Nabawan, Bengkoka, dan Liawan bagi memudahkan urusan rakyat tempatan.
Kementerian juga membangunkan Sawah Satelit Benih Padi Sah seluas 415 hektar tahun ini untuk membekalkan benih kepada 12,000 pesawah di seluruh negeri.
Usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sawit Kinabalu di Kota Marudu turut diteruskan bagi pembangunan kawasan baharu tanaman padi.
Di DUN Paginatan, pusat pengumpulan hasil tani bagi durian dan buah-buahan telah diwujudkan sejak 2019 dan 2020 bagi membantu pemasaran hasil petani.
Jamawi turut memaklumkan bahawa seramai 661 peserta telah mengikuti kursus pemprosesan makanan di daerah Ranau bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan.
Mengenai isu gaji, beliau menjelaskan Jemaah Menteri telah meminta kajian semula dilakukan agar upah Pekerja Sambilan Harian (PSH) tidak berada di bawah kadar RM1,700.
Jamawi berkata, isu larangan ikan Koi dan ikan Emas di sungai dijelaskan sebagai langkah membendung wabak, namun ia tidak terpakai bagi peliharaan dalam akuarium atau kolam tertutup.
Kementerian juga telah mencadangkan pengecualian dan pengurangan kadar Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi komoditi akuakultur kepada Kementerian Kewangan Negeri.
Bagi melindungi nelayan tradisional, penggunaan Sistem Pemantauan Vesel (iiVMS) dipertegas bagi menangani isu pencerobohan kapal di perairan seperti Papar.
Berhubung isu anjing liar di Semporna, kementerian menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menguatkuasakan undang-undang kecil sedia ada bagi menjamin keselamatan komuniti.
Dalam aspek tebatan banjir, projek di Sungai Tawau dan Sungai Likas sedang dalam fasa pelaksanaan melibatkan peruntukan persekutuan dan penyelarasan rizab simpanan sungai.
Di Pulau Banggi, program khas penanaman nanas MD2 melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) disasarkan kepada 80 pekebun kecil dengan peruntukan RM2 juta pada tahun ini.
Jamawi menyimpulkan bahawa Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) menunjukkan keberkesanan tinggi melebihi 90 peratus dalam memperkukuh asas pengeluaran makanan negeri.






























