Jamawi Jaafar
KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) merupakan satu-satunya agensi berkaitan getah di Malaysia yang menerima pensijilan Majlis Pengawasan Hutan (FSC) bagi pengurusan hutan lestari dalam projek ladang getah di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pengiktirafan itu membuktikan dedikasi LIGS terhadap amalan mampan, termasuk pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan ekosistem sungai.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan pada persidanggan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Terdahulu, ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan isu banjir yang sering melanda kawasan seperti Kauluan, Sungai Damit, Topokon dan Tenghilan pada musim tengkujuh.
Madius bertanya sama ada kerajaan sedar banjir tersebut berpunca daripada sungai yang menjadi cetek akibat pemendapan tanah daripada pembinaan teres lereng bukit semasa aktiviti penanaman semula getah oleh RISDA dan LIGS. Beliau turut mencadangkan agar Kerajaan mengawal selia jenis jentera yang digunakan untuk aktiviti teresing.
Menjawab perkara itu, Jamawi berkata, Kerajaan telah mengambil langkah tegas dengan melarang penggunaan jentolak (bulldozer) dalam kerja pembinaan teres bagi mengurangkan risiko runtuhan cerun dan hakisan tanah.
Sebaliknya, hanya penggunaan jengkaut (excavator) dibenarkan bagi memastikan kawalan kerja tanah yang lebih selamat dan terkawal mengikut kontur semula jadi bukit.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan menetapkan zon penampan rezab riparian sekurang-kurangnya 40 meter dari tebing sungai bagi melindungi sumber air dan mengurangkan impak kepada ekosistem.
Peneresan kawasan tanah yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah adalah dilarang sama sekali.
Sebagai langkah tambahan, tanaman penutup bumi seperti Mucuna bracteata ditanam bagi membantu mengekalkan kestabilan struktur tanah dan mengurangkan hakisan.
Dalam perkembangan lain, Jamawi memaklumkan pada tahun 2025, Projek TBB Pahu Jaya seluas 58.59 hektar kini dalam fasa pembangunan. Bagi tahun 2026, dua lagi projek baharu akan dilaksanakan iaitu Projek TBB Sinopukan (38 hektar) dan Projek TBB Nulu (52 hektar).




























