Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa baki kerja pembinaan bagi projek Kompleks Sukan Tongod akan diteruskan pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tindakan itu akan dilaksanakan sejurus pelantikan kontraktor baharu diselesaikan.
Isu kelewatan projek berkenaan sebelum ini telah dibangkitkan oleh ADUN Kuamut semasa sesi perbahasan.
Nizam menegaskan bahawa pemilihan kontraktor akan dibuat secara teliti bagi memastikan pihak yang dilantik benar-benar kompeten untuk menyiapkan kompleks tersebut.
Beliau berkata demikian ketika memggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Bagi projek Mini Kompleks Kinabatangan yang dibangkitkan ADUN Lamag, Nizam memaklumkan pelaksanaan projek fizikal baharu belum dapat dijalankan buat masa ini.
Fokus utama kementerian pada masa sekarang adalah untuk menyelenggara serta menaik taraf kemudahan sukan sedia ada bagi menjamin keselamatan pengguna.
Antara yang diberi keutamaan ialah kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Sandakan bagi memastikan ia terus relevan untuk kegunaan atlet dan masyarakat setempat.
Mengenai pembangunan sukan di Kota Belud, Nizam akan mempertimbangkan cadangan ADUN Tempasuk berkaitan penyediaan asrama atlet di kompleks sukan daerah tersebut.
Satu kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi menilai keperluan asrama serta pemasangan lampu limpah untuk kemudahan latihan pada waktu malam.
Langkah ini dilihat penting dalam usaha kementerian melahirkan lebih banyak bakat sukan dari peringkat akar umbi di daerah-daerah.
Nizam turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Sabah FC atas kejayaan menjuarai MFL Challenge Cup 2025/2026.
Kejayaan tersebut disifatkan sebagai suntikan semangat dan pemangkin kepada kemajuan sukan bola sepak di negeri Sabah secara keseluruhan.
“Kerajaan Negeri juga akan terus memberikan insentif kepada atlet-atlet yang menunjukkan kecemerlangan sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka mengharumkan nama negeri,” katanya.
Menjawab permintaan ADUN Segama, Nizam menyatakan kementerian akan meneliti cadangan menaik taraf dan menambah kemudahan sukan di kawasan berkenaan.
Beliau memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil selepas penilaian menyeluruh mengenai keperluan fasiliti di DUN Segama dilakukan.
Nizam menjelaskan bahawa penyediaan prasarana sukan yang berkualiti adalah kunci utama dalam usaha menjadikan Sabah sebagai kuasa sukan di Malaysia.
Penyelenggaraan berkala terhadap semua kompleks sukan di bawah seliaan Lembaga Sukan Sabah akan terus dipergiatkan bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius.
Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan untuk terus bekerjasama dalam menyokong agenda transformasi sukan negeri.






























