KOTA KINABALU: SAFMA FC menyertai Piala Kerkas Pertandingan Futsal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang berlangsung di Kompleks Tun Adnan, hari ini.
Kejohanan itu menghimpunkan 16 pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi dalam suasana meriah serta penuh semangat kesukanan.
SAFMA FC diundi dalam Kumpulan A bersama EDU Tenom, Yayasan Sabah dan Kesihatan D.
Pasukan itu diketuai pengurus pasukan Willintino Leo Magil dan Raif Anaqie Damian, dengan Saidul Saikin selaku jurulatih.
Dalam saingan peringkat kumpulan, SAFMA FC berdepan pasukan Kesihatan D sebagai sebahagian daripada usaha memburu keputusan terbaik dalam kejohanan berkenaan.
Penyertaan itu memberi peluang kepada pemain menguji kecergasan dan kemahiran masing-masing, selain mengeratkan hubungan sesama warga kerja serta memupuk semangat kerjasama berpasukan.
SAFMA turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas penganjuran kejohanan itu dan berharap program seumpamanya dapat diteruskan bagi menggalakkan gaya hidup aktif serta memperkukuh kerjasama antara jabatan dan agensi.































