Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Pakatan Harapan (PH) Sabah berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan baki pembayaran interim berjumlah RM900 juta berhubung pemberian khas 40 peratus sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula 4 Dis ini.
Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata langkah itu penting bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan ke dalam hasil kerajaan negeri untuk dibelanjakan demi keperluan serta kepentingan rakyat pada tahun hadapan.
“Sebelum ini RM600 juta sudah dibayar dan kini RM900 juta lagi dalam proses pewartaan, menjadikan jumlah keseluruhannya RM1.5 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan PH Sabah di sini hari ini.
Persidangan DUN Sabah dijadual berlangsung dari 4 hingga 10 Dis ini.
Beliau berkata mesyuarat itu turut mencadangkan agar kaedah pewartaan bayaran interim dilaksanakan secara progresif dengan nilai bayaran dinaikkan saban tahun.
Mustapha berkata langkah itu mengambil kira hasil dijana agensi Persekutuan di Sabah, dengan nilai pembayaran perlu dirunding serta dipersetujui bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan sehingga formula muktamad pemberian khas 40 peratus dicapai.
Beliau berkata PH Sabah turut berharap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak direalisasikan.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata langkah itu penting bagi memelihara semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya dalam memastikan perwakilan mencukupi bagi Sabah dan Sarawak menerusi prinsip satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Beliau berkata pindaan perlembagaan berkenaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan urusan kajian serta proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Mengenai persiapan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Mustapha berkata PH Sabah bertekad mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi sebelum ini iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
Pada masa sama, gabungan itu sedang mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi lain untuk ditandingi tanpa menjejaskan keharmonian kerjasama dengan rakan komponen dalam kerajaan negeri.
Mustapha turut mengumumkan pelantikan Datuk Ruji Ubi sebagai Setiausaha PH Sabah yang baharu. — BERNAMA






























