ISTANBUL (Bernama-Anadolu): Amerika Syarikat (AS), Kanada dan 11 negara lain termasuk Malaysia pada Khamis berikrar memperkukuh kerjasama membanteras penipuan dalam talian menerusi perkongsian maklumat, usaha penguatkuasaan undang-undang dan kemungkinan mengenakan sekatan, menurut Kementerian Luar Korea Selatan, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu “kenyataan prinsip” bersama, negara berkenaan menyifatkan penipuan dalam talian sebagai jenayah rentas sempadan yang “serius dan kompleks” serta mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Negara lain yang turut mengambil bahagian ialah Australia, Korea Selatan, Jepun, New Zealand, United Kingdom (UK), Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Negara itu menegaskan semula komitmen mereka untuk mempertimbangkan “sekatan ekonomi bersasar dan langkah lain”, termasuk larangan masuk, bagi mengganggu operasi penipuan serta rangkaian rentas sempadan yang mendalangi kegiatan berkenaan.
Langkah itu bertujuan membawa pesalah ke muka pengadilan, menghalang penjenayah dan individu yang secara sedar atau memberikan bantuan besar kepada kegiatan mereka daripada memperoleh tempat perlindungan, serta menghalang mereka daripada terus menyimpan hasil jenayah.
Kenyataan itu turut menekankan usaha mengenal pasti dan mengesan rangkaian kewangan, operasi dan logistik, infrastruktur serta aset organisasi jenayah.
Ia juga menggesa supaya siasatan terhadap kumpulan berkenaan dan penahanan pemimpin mereka diberikan keutamaan.
Negara berkenaan berikrar untuk berkongsi bukti menerusi saluran perisikan dan penguatkuasaan undang-undang.
Mereka turut bersetuju memperkukuh kerjasama dengan penyedia perkhidmatan aset maya, seperti platform pertukaran mata wang kripto, serta platform digital lain bagi mencegah penipuan dan membantu mengenal pasti serta menjejaki pemimpin dan kegiatan rangkaian berkenaan. — BERNAMA-ANADOLU






























