Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan pembangunan 75 ekar pertama di Taman Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu diiktiraf sebagai kluster perindustrian strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Beliau berkata kawasan berkenaan dicadangkan untuk dibangunkan sebagai Zon Perindustrian Bebas (FIZ), khusus bagi aktiviti pemprosesan hiliran minyak sawit dan penghasilan bahan termaju.
Katanya, cadangan itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bernilai tinggi di Sabah dengan memanfaatkan sumber kelapa sawit negeri yang besar.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberikan pengiktirafan strategik terhadap pembangunan berkenaan di bawah NIMP 2030.
“Saya memohon MITI mengetuai pasukan petugas khas bersama MIDA, Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam dan Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelaras serta mempercepatkan proses kelulusan dan pewartaan kawasan ini sebagai Free Industrial Zone di bawah Akta Zon Bebas 1990,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi MITI di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Madius turut meminta MITI membantu POIC mengenal pasti kemudahan pembiayaan dan sokongan NIMP yang bersesuaian bagi membolehkan pembangunan infrastruktur, teknologi pemprosesan, penyelidikan dan pengkomersialan dilaksanakan.
Menurutnya, pembangunan itu selaras dengan misi NIMP 2030, khususnya Mission 1, Advance Economic Complexity dan Mission 3, Push for Net Zero.
Beliau berkata pembangunan industri hiliran di POIC Lahad Datu juga perlu memastikan syarikat tempatan, pengusaha industri dan institusi pelaburan Sabah mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan baharu.
Katanya, pembangunan berkenaan perlu membuka ruang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, institusi pelaburan negeri, pengusaha kilang kelapa sawit dan syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri.
“Pelabur antarabangsa perlu membawa masuk teknologi, kepakaran dan pasaran, sementara syarikat Sabah turut menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya.
Madius berkata Sabah mempunyai sumber, kawasan perindustrian, pelabuhan dan kedudukan strategik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan sektor perindustrian negeri.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu memerlukan tindakan tersusun serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata pembangunan 75 ekar pertama POIC Lahad Datu sebagai Zon Perindustrian Bebas berpotensi menjadi pemangkin kepada penghasilan produk bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan pewujudan pekerjaan mahir.
“Sabah tidak seharusnya selama-lamanya menjadi pembekal bahan mentah. Kita mempunyai sumber, kawasan perindustrian, pelabuhan dan kedudukan strategik. Yang diperlukan sekarang ialah tindakan tersusun dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berharap MITI memberikan komitmen jelas bagi memastikan pembangunan itu menjadi contoh nyata pelaksanaan NIMP 2030 di Sabah.
“Kita mahu melihat dasar ini diterjemahkan kepada kilang, teknologi, pekerjaan mahir dan nilai tambah untuk rakyat,” katanya.



























