KUALA LUMPUR (Bernama): Orang ramai digalakkan mengemas kini sistem operasi telefon bimbit supaya peranti masing-masing dapat menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon bimbit dalam kawasan geografi dikenal pasti.
“Teknologi itu membolehkan orang ramai menerima amaran kecemasan tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus.
“Keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS ialah iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, selain telefon Android 12 atau versi terkini serta Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir,” menurut kenyataan itu.
MCMC juga menggalakkan pengguna mengaktifkan fungsi kemas kini perisian pada peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan amaran kecemasan diaktifkan.
Kenyataan itu memaklumkan MCMC mengadakan sesi taklimat khas bersama-sama Ketua-ketua Pengarang agensi media hari ini untuk memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama bagi meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat.
Menurut MCMC, taklimat itu turut disertai demonstrasi ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC Cyberjaya bagi menilai dan menambah baik sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan lebih meluas dengan ujian pada skala lebih besar akan dijalankan secara berperingkat.
Kenyataan itu memaklumkan pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan, memandangkan EWS melengkapi saluran amaran sedia ada dalam usaha meningkatkan keselamatan serta kesediaan masyarakat menghadapi bencana. — BERNAMA



























