David Chan
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung insiden gangguan bekalan elektrik di sebuah hospital di Sabah yang menyebabkan seorang doktor terpaksa menggunakan lampu suluh telefon bimbit ketika menjahit pesakit.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah David Chan berkata insiden yang dilaporkan The Star pada 17 November lalu itu menimbulkan persoalan serius mengenai kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik kecemasan di hospital kerajaan serta keselamatan pesakit.
“Perkara ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan. Hospital ialah kemudahan kritikal yang memerlukan bekalan elektrik berterusan bagi melindungi nyawa.
“Gangguan bekalan elektrik walaupun untuk tempoh singkat ketika pembedahan atau rawatan kecemasan boleh mendedahkan pesakit kepada risiko yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah perlu memastikan sama ada generator kecemasan serta sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) di hospital terbabit berfungsi dengan baik.
Katanya, setiap hospital kerajaan, khususnya bilik bedah, unit rawatan rapi, jabatan kecemasan dan kemudahan perubatan kritikal lain, perlu dilengkapi sistem bekalan kuasa kecemasan yang boleh dipercayai.
“Generator diesel sokongan sahaja mungkin tidak mencukupi. Hospital juga perlu mempunyai sistem bateri UPS yang direka dengan baik dan mampu membekalkan elektrik serta-merta ketika berlaku gangguan bekalan.
“Ini bagi memastikan peralatan perubatan penting, lampu bilik bedah dan sistem sokongan hayat terus berfungsi tanpa gangguan,” katanya.
Sehubungan itu, Chan mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan khas di bawah program pembangunan infrastruktur kesihatan negara bagi memasang atau menaik taraf Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan sistem UPS di hospital kerajaan seluruh Sabah.
Beliau berkata keutamaan perlu diberikan kepada hospital yang kerap berdepan gangguan bekalan elektrik.
“Teknologi BESS, jika disepadukan dengan betul ke dalam infrastruktur elektrik hospital, boleh menyediakan kapasiti simpanan tambahan dan memperkukuh daya tahan tenaga.
“Sistem UPS pula membekalkan kuasa serta-merta sementara menunggu generator sokongan atau sumber sandaran lain beroperasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua teknologi itu perlu melengkapi generator kecemasan sedia ada dan tidak menggantikannya tanpa penilaian kejuruteraan yang sewajarnya.
Beliau turut menggesa KKM melaksanakan audit teknikal menyeluruh terhadap sistem bekalan kuasa kecemasan di semua hospital kerajaan di Sabah.
Katanya, audit itu perlu merangkumi ujian berkala terhadap generator sokongan, keadaan bateri UPS, suis pemindahan automatik dan sistem lampu kecemasan.
“Cabaran geografi dan keadaan bekalan elektrik di Sabah memerlukan perhatian khusus. Kita tidak boleh menunggu sehingga tragedi besar berlaku sebelum infrastruktur hospital ditambah baik.
“Kerajaan Persekutuan perlu mengiktiraf bahawa pelaburan dalam infrastruktur bekalan elektrik hospital yang boleh dipercayai bukan satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk melindungi kemudahan perubatan kritikal ialah pelaburan bagi menjaga nyawa manusia,” katanya.
Sementara itu, Chan menghargai dedikasi petugas kesihatan yang terus memberikan khidmat kepada pesakit walaupun berdepan keadaan mencabar.
“Kami memuji doktor dan petugas perubatan yang dilaporkan tetap meneruskan rawatan terhadap pesakit walaupun berlaku gangguan bekalan elektrik.
“Namun, petugas kesihatan tidak sepatutnya berada dalam keadaan terpaksa bergantung pada lampu suluh telefon bimbit untuk menjalankan prosedur perubatan penting,” katanya.
YPNM berharap KKM memberikan penjelasan secara telus berhubung insiden itu serta mengumumkan langkah pembetulan konkrit bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.
“Keselamatan pesakit mesti sentiasa menjadi keutamaan. Hospital sepatutnya menjadi tempat nyawa diselamatkan, bukannya tempat nyawa terdedah kepada risiko akibat kegagalan infrastruktur yang boleh dicegah,” katanya.































