Ruslan (kiri) bergambar bersama dengan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar (tengah) dan Pembantu Menteri II, Datuk Hendrus Anding.
KOTA KINABALU: Kerajaan telah mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pegalan untuk mengurangkan kejadian banjir di Kampung Ansip, Sook.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata, permohonan tersebut dibuat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dengan kerjasama JPS Malaysia di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) dan Kedua (RP2).
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa projek tersebut tidak tersenarai dalam senarai pendek untuk dibawa ke Kementerian Ekonomi pada masa ini.
“JPS Sabah akan mengemukakan semula permohonan peruntukan ini pada Rolling Plan akan datang. Sekiranya diluluskan, projek dijangka mengambil masa lima tahun untuk dilaksanakan merangkumi perkhidmatan perunding dan kerja fizikal,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Arthur bertanya mengenai langkah konkrit dan tempoh penyelesaian sasaran JPS dalam menangani isu banjir berulang di Kampung Ansip akibat limpahan Sungai Sook dan Sungai Pegalan.
Mengulas mengenai langkah jangka pendek, Ruslan berkata, JPS Sabah telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran bagi memastikan kelancaran aliran air di kawasan terlibat.
Beliau menambah, antara kerja berskala kecil yang telah siap dilaksanakan termasuk penyelenggaraan kolam takungan banjir di Kampung Ansip Pagalungan pada Ogos 2023 bagi mempercepatkan pengaliran keluar air banjir.
Pendekatan jangka panjang melalui projek tebatan banjir di Lembangan Sungai Pegalan tetap menjadi keutamaan kementerian bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan terjamin secara kekal, jelas beliau.


























