Mandela yang mewakili Ketua Menteri (tengah) bersama penerima anugerah.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menggesa syarikat-syarikat besar di Sabah supaya membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk berkembang dan turut serta dalam pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata pengukuhan hubungan perniagaan antara syarikat besar dengan perusahaan tempatan dapat membantu mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah, selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi secara lebih meluas.
“Apabila syarikat besar berkembang, saya menggalakkan mereka membuka lebih banyak peluang kepada pembekal tempatan, penyedia perkhidmatan dan usahawan baharu.
“Dengan memperkukuh hubungan perniagaan ini, kita dapat mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah dan membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan turut serta dalam pembangunan negeri,” katanya pada majlis Sin Chew Sabah Business Builder Award di Grand Palace Ballroom, Port View Seafood Restaurant, Tanjung Lipat, di sini malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata sektor swasta yang kukuh dan dinamik amat penting bagi kemajuan Sabah, sambil menegaskan Kerajaan Negeri kekal komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, berdaya saing dan mesra perniagaan bagi menggalakkan syarikat serta pelabur menubuhkan dan mengembangkan operasi mereka di Sabah.
Beliau berkata penambahbaikan infrastruktur dan jaringan perhubungan, pengukuhan perkhidmatan asas, memudahcara pelaburan serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran merupakan asas penting bagi meningkatkan keyakinan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Kerajaan tidak dapat mencapai semua ini sendirian. Kita memerlukan penyertaan, idea dan kerjasama usahawan, pelabur, persatuan industri serta pemimpin masyarakat,” katanya.
Hajiji berkata Sabah mempunyai sumber semula jadi yang melimpah, tanah pertanian yang subur, biodiversiti luar biasa serta kedudukan strategik yang menawarkan peluang besar kepada perniagaan untuk menjana nilai ekonomi berkekalan dalam pelbagai sektor.
“Cabaran kita adalah untuk menterjemahkan kekuatan ini kepada kemakmuran yang lebih luas dan inklusif.
“Kita perlu menggalakkan lebih banyak aktiviti tambah nilai, memperkukuh perusahaan tempatan dan memastikan pertumbuhan ekonomi mewujudkan peluang bermakna bukan sahaja di pusat bandar, tetapi juga di pekan-pekan kecil dan komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau turut menggesa majikan supaya memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan melalui program latihan industri, perantisan, latihan teknikal serta pendedahan kepada industri bagi membantu lebih ramai rakyat Sabah membina kerjaya yang menjanjikan di negeri ini.
Pada masa sama, Hajiji menggalakkan generasi muda supaya menceburi bidang keusahawanan, memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif yang relevan dengan Sabah serta mampu bersaing di luar negeri.
“Kemajuan akhirnya harus diukur bukan sahaja berdasarkan saiz ekonomi kita, tetapi juga peluang yang tersedia kepada rakyat serta peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata setiap perniagaan baharu yang ditubuhkan, setiap pelaburan produktif yang dilaksanakan dan setiap pekerjaan bermakna yang diwujudkan membawa Sabah lebih dekat kepada visi Sabah Maju Jaya serta menjadi negeri yang lebih makmur, berdaya saing dan inklusif.
Sementara itu, Hajiji memuji Sin Chew Daily atas penganjuran majlis anugerah itu bagi mengiktiraf usahawan, pembina perniagaan dan pemimpin masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah serta kesejahteraan rakyatnya.
Beliau berharap akhbar itu akan terus berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan, komuniti perniagaan dan rakyat.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan menggesa mereka supaya terus berinovasi, memperkukuh perniagaan, membangunkan bakat tempatan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti yang menyokong perjalanan keusahawanan mereka.
































