Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan dan sempadan tanah negeri, khususnya melibatkan kawasan sensitif seperti Pulau Sebatik yang berkongsi sempadan dengan Indonesia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa apa sahaja yang menjadi hak Sabah akan dipertahankan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
“Kita tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan apa yang sepatutnya menjadi milik kita. Melindungi kedaulatan kita, kita semua bersama dalam hal ini.
“Kita semua rakyat Sabah. Jadi apa yang sepatutnya menjadi milik kita akan kita pertahankan bersama. Ini akan sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya dalam mesej disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri I, Datuk Joniston Bangkuai ketika menggulung perbahasan untuk Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri, malam tadi.

Joniston Bangkuai
Isu sempadan tanah Sabah-Indonesia di Pulau Sebatik, Kalabakan dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang meminta penjelasan mengenai status terkini kawasan berkenaan.
Semasa membuat penggulungan itu, Joniston menjelaskan, berdasarkan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan, sebarang perubahan sempadan negeri tidak boleh dibuat tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Beliau berkata, kawasan berkenaan sebelum ini dikategorikan sebagai Outstanding Boundary Problem (OBP).
Beliau berkata, sempadan darat Pulau Sebatik hanya dimuktamadkan secara rasmi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) No. 23 antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025.
Berhubung dakwaan bahawa 100 hektar tanah di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia, Joniston menegaskan bahawa perkara itu bukan penyerahan kedaulatan.
Sebaliknya, ia adalah pematuhan kepada perjanjian sempadan antarabangsa yang telah lama wujud, khususnya konvensyen sempadan 1891.
“Penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan perjanjian antara Kerajaan British dan Belanda yang menetapkan garis sempadan di latitud 4 darjah 10 minit Utara.
“Namun, sempadan tersebut sebelum ini belum dimuktamadkan sepenuhnya dan kekal sebagai isu tertunggak antara kedua-dua negara.
“Semakan teknikal bersama Malaysia dan Indonesia pada tahun 1983 mendapati terdapat perbezaan antara jajaran sempadan di lapangan dengan garis latitud yang ditetapkan.
“Keadaan ini menyebabkan keperluan untuk pengukuran semula bagi memastikan sempadan sebenar ditentukan dengan tepat,” katanya.
Joniston berkata, kerja-kerja pengukuran semula dilakukan dari Februari hingga November 2019 dengan menggunakan teknologi moden oleh pasukan ukur kedua-dua negara.
Hasilnya, jajaran sempadan berjaya diselaraskan semula berdasarkan garis latitud yang dipersetujui.
Menurut beliau, penyelesaian persempadanan di Pulau Sebatik turut melibatkan penjajaran semula di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai sebagai satu pakej rundingan.
Melalui penyelesaian itu, Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.
“Ini sekali gus menunjukkan bahawa rundingan sempadan bukan sahaja melibatkan pelarasan, tetapi juga memberi manfaat kepada keluasan wilayah negara.
“Keseluruhan penyelesaian ini dimuktamadkan melalui MoU yang ditandatangani pada Februari tahun lalu.
“Sabah sentiasa dilibatkan secara konsisten dalam setiap peringkat rundingan teknikal dan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
“Wakil daripada Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Peguam Besar Negeri dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah turut terlibat dalam proses tersebut,” tegas Joniston.
Katanya, semua rundingan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua negara serta selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Kerajaan turut menegaskan bahawa proses ini tidak melibatkan sebarang prinsip pampasan atau pertimbangan untung rugi.
Sebaliknya, pendekatan diambil adalah untuk memastikan hak Sabah terpelihara serta kawalan keselamatan sempadan diperkukuh.
Bagaimanapun, Joniston berkata, keseluruhan sempadan darat Malaysia-Indonesia masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Antara kawasan yang masih dalam rundingan ialah kawasan intertidal di timur Pulau Sebatik sepanjang 870 meter ke arah laut.
Selain itu, terdapat empat lagi kawasan OBP di sektor Sarawak-Kalimantan Barat yang masih memerlukan penyelesaian.
Sehubungan itu, rundingan antara Malaysia dan Indonesia akan terus berjalan sehingga semua isu sempadan diselesaikan sepenuhnya.
Bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo di Ranau dan Lahad Datu, Joniston berkata, ratusan hak milik tanah telah terlibat dalam proses pengambilan di bawah Ordinan Pengambilan Tanah.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa pampasan sewajarnya ditawarkan kepada pemilik tanah terlibat berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.
Langkah ini, menurut beliau, penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur tidak menjejaskan hak pemilik tanah secara tidak adil.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut mengambil pendekatan prihatin dengan menyediakan bayaran saguhati kepada pemilik struktur di kawasan simpanan jalan.
Semua langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menyeimbangkan pembangunan, kebajikan rakyat dan kedaulatan wilayah negeri, kata Joniston.
































