Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan hampir RM50 juta bagi memastikan projek pembinaan Jeti Baharu Kota Kinabalu siap dengan sempurna, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KPKT), Datuk Fairuz Renddan.
Beliau berkata, projek bernilai RM49,999,128 itu dilaksanakan secara kaedah reka dan bina (design and build), diselia oleh KPKT, sebelum diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tujuan operasi dan penyelenggaraan.
Menurutnya, skop projek merangkumi kerja penambakan, pemasangan sistem perpaipan dan lampu jalan, pembinaan bangunan sokongan, serta penyediaan kemudahan awam termasuk tandas dan infrastruktur berkaitan.
“Kos pembinaan jeti sahaja adalah kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kos projek, iaitu sekitar RM16.6 juta. Projek ini dijangka meningkatkan kemudahan perhubungan laut serta menyokong pembangunan sektor pelancongan di Kota Kinabalu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui DBKK turut mengambil maklum keperluan kemudahan jeti yang lebih teratur, selesa dan selamat, khususnya bagi penduduk Pulau Gaya yang berulang-alik setiap hari.
Dalam jangka masa terdekat, jeti sedia ada di belakang Pasar Besar Kota Kinabalu akan dinaik taraf dengan pemasangan rel keselamatan serta penambahbaikan tangga pendaratan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna.
Bagi jangka panjang pula, DBKK merancang membina dek pendaratan yang lebih selesa dan tersusun khusus untuk kegunaan penduduk Pulau Gaya di kawasan sekitar pasar tersebut.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan langkah kerajaan menangani isu kebersihan di Semporna, melibatkan pelan jangka pendek dan jangka panjang.
Bagi jangka pendek, KPKT melalui Majlis Daerah Semporna (MDS) memperkasakan operasi pembersihan di kawasan tumpuan awam, meningkatkan kekerapan kutipan sisa pepejal, melaksanakan kempen kesedaran, menguatkuasakan undang-undang kecil serta menggalakkan amalan kitar semula.
Untuk jangka panjang, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengurusan sisa bersepadu, penambahbaikan infrastruktur kebersihan, pendidikan serta perubahan tingkah laku masyarakat, selain perancangan pembangunan dan kawalan penempatan.
































