SEOUL: Seorang wanita warga negara Jepun berusia 50-an didakwa atas tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap anggota kumpulan popular Korea Selatan, BTS, Jin ketika acara bersama peminat tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Polis Songpa memaklumkan, siasatan terhadap wanita terbabit tergendala apabila dia pulang ke Jepun selepas kejadian berlaku.
“Siasatan awalnya tergendala apabila wanita itu dilaporkan sudah pulang ke Jepun selepas acara selesai.
“Namun, pihak polis Korea Selatan telah bekerjasama dengan Interpol Jepun bagi mengesan suspek dan menuntut kehadirannya bagi proses soal siasat.
“Siasatan kemudian digantung kepada Mac lalu mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, pihak Polis Songpa berkata kes berkenaan dibuka semula selepas wanita terbabit pulang ke Korea dan hadir secara sukarela ke balai polis bagi memberi keterangan.
“Baru-baru ini, siasatan disambung semula apabila wanita terbabit pulang ke Korea dengan sukarela untuk hadir sesi soal siasat.
“Wanita terbabit akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut di bawah Akta Hukuman Keganasan Seksual kerana melakukan serangan seksual di tempat awam,,” katanya.
Dalam pada itu, polis masih mengesan seorang lagi individu yang dipercayai melakukan perbuatan sama terhadap Jin pada acara tersebut.
Terdahulu, tular sekeping gambar seorang wanita mencium pipi Jin ketika acara bertemu sempena BTS Festa, sebulan selepas dia menamatkan khidmat tenteranya.