Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Penduduk berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini bakal berpeluang memiliki rumah sendiri melalui Skim Subsidi Pembeli Rumah Pertama Kali (SERI).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, skim itu merupakan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Sabah.
Katanya, inisiatif tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Negeri memastikan kesejahteraan rakyat secara holistik, khususnya dalam sektor perumahan.
“Kerajaan Negeri melalui KKTP akan memperkenalkan skim khas ini di mana pembeli rumah yang layak akan menerima subsidi, yang akan dimuktamadkan kemudian.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memperluaskan kadar pemilikan rumah, tetapi juga meringankan beban kewangan pembeli,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk KKTP pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.
Dr. Mohd. Arifin berkata, pelaksanaan SERI juga dijangka merangsang pertumbuhan sektor perumahan di Sabah secara lebih mampan dan inklusif.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, golongan belia turut diberi perhatian melalui inisiatif memperluaskan peluang dalam aktiviti penjajaan.
Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berperanan sebagai pemacu utama ekonomi setempat melalui penyediaan persekitaran perniagaan kondusif, pembangunan infrastruktur efisien serta tadbir urus yang telus.
“Majlis Perbandaran Sandakan mempelopori inisiatif baharu dengan memperkenalkan polisi memperuntukkan kuota 30 peratus kepada golongan belia berumur 30 tahun ke bawah dalam aktiviti penjajaan di bawah kawalannya seperti pasar umum, tamu dan pasar malam,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada golongan muda, khususnya di Sandakan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan akan diperluaskan ke semua 25 PBT di bawah seliaan kementeriannya dengan kerjasama kementerian berkaitan.
Sementara itu, beliau berkata, KKTP turut melaksanakan program Jelajah Aspirasi (JAM) melibatkan semua agensi dan jabatan di bawah kementerian.
“Ia menjadi wadah menyampaikan aspirasi, dasar dan inisiatif kerajaan secara langsung kepada rakyat, selain mendapatkan maklum balas mengenai isu serta keperluan setempat.
“Program ini juga memperkukuhkan penyelarasan antara agensi kerajaan termasuk semua PBT bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih cekap, inklusif dan berkesan,” katanya.
Menurutnya, enam siri jelajah yang bermula April lalu berjaya mengenal pasti pelbagai isu tempatan yang kini dalam tindakan susulan kementerian.
Dalam pada itu, Dr. Mohd. Arifin berkata, KKTP komited memperkasa penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi melalui pengukuhan perjawatan PBT secara sistematik.
Katanya, langkah itu termasuk pelaksanaan Dasar Lantikan Berasaskan Caruman Sabah (LBCS) yang akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk penelitian lanjut.
“Usaha juga sedang dipergiat untuk membangunkan Model Perjawatan Berstruktur berasaskan fungsi dan keperluan sebenar organisasi.
“Inisiatif ini akan memperkukuh struktur organisasi PBT serta memastikan tadbir urus sumber manusia lebih teratur dan berintegriti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kementeriannya memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan dengan cadangan menambah jawatan penguat kuasa serta menyelaras status perjawatan sedia ada di PBT.
































