Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan melaksanakan 536 operasi dari Januari hingga April tahun ini bagi membendung kegiatan mencuri elektrik di penempatan setinggan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) berkata, sebanyak 1,570 operasi telah dilaksanakan di seluruh Sabah sepanjang 2025 sebagai antara langkah menangani masalah berkenaan.
Menurutnya, kegiatan mencuri elektrik bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada utiliti, malah menyumbang kepada gangguan bekalan serta kemalangan elektrik.
“Sehubungan itu, operasi membanteras sambungan haram akan dipertingkat secara berterusan dan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, SPRM, PDRM, JANS dan lain-lain,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk KKRU pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Dr. Joachim berkata, Kerajaan melalui KKRU turut meneruskan tindakan perundangan termasuk pendakwaan di mahkamah selaras dengan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
“Setakat ini, lebih tujuh kes ‘landmark’ sedang dalam proses pendakwaan melibatkan kesalahan mencuri elektrik dan penjualan elektrik secara haram di penempatan setinggan.
“Ini tidak termasuk 31 kes yang telah dijatuhkan hukuman serta 21 kes dikompaun sepanjang dua tahun lalu sejak ECoS mengambil alih kuasa kawal selia pada 2024,” katanya.
Bagi tujuan pencegahan, Dr. Joachim berkata, selain meningkatkan penguatkuasaan dan hukuman, kes yang telah diputuskan turut dipaparkan kepada umum bagi memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat.
Mengenai polisi bekalan elektrik ke kawasan setinggan, beliau menjelaskan ia dilaksanakan secara kes demi kes sebagai langkah interim sementara perancangan penempatan semula dilaksanakan.
“Konsep bekalan adalah melalui pihak ketiga yang mengurus penyediaan infrastruktur, pengagihan bekalan dan kutipan bayaran berdasarkan tarif khas diluluskan.
“Projek perintis telah dilaksanakan di Kampung Forest, Sandakan, manakala konsep baharu menggunakan ‘meter house’ bagi pemasangan meter secara berkelompok diperkenalkan bagi memudahkan pengebilan dan mengurangkan sambungan haram,” katanya.
Menurutnya, projek perintis oleh Sabah Electricity turut dilaksanakan di Kampung Selamat, Semporna dan akan diperluas ke beberapa kampung lain termasuk Kampung Delima, Sepanggar.
Beliau menegaskan, semua inisiatif itu tidak bertujuan menggalakkan pertambahan setinggan, sebaliknya langkah sementara bagi mengurangkan gangguan bekalan kepada premis sah di kawasan sekitar.
Sementara itu, mengenai kecurian air, Dr. Joachim berkata, sebanyak 1,574 pemotongan sambungan haram dilaksanakan Jabatan Air Sabah sejak 2023 hingga Mac 2026.
Katanya, trend penguatkuasaan menunjukkan peningkatan ketara dengan 208 kes pada 2023, diikuti 398 kes (2024), 782 kes (2025) dan 186 kes setakat Mac tahun ini.
Mengenai bekalan air, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan pelaksanaan projek di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kepada kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
Bagi RMKe-13, sebanyak 83 projek BALB dirancang, termasuk 82 projek sambungan daripada RMKe-12 serta satu projek baharu di bawah Rolling Plan Pertama yang diserahkan pelaksanaannya kepada kerajaan negeri.
“Perincian dan hala tuju pelaksanaan akan diselaraskan bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam masa terdekat,” katanya.


































