KUCHING (Bernama): Sebanyak 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini, mencatat rekod tertinggi setakat ini, mengatasi catatan 19 kerusi pada PRN Sarawak 1996.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata perkembangan itu, merupakan sebahagian daripada proses demokrasi berikutan hanya satu kertas penamaan diterima di 29 pusat penamaan calon, selepas proses berkenaan ditutup pada 10 pagi.
“Sebelum ini pada tahun 1996, jumlah yang menang tanpa bertanding sebanyak 19 (kerusi) dan kali ini 29 (kerusi). Jadi ini merupakan yang terbanyak setakat ini.
“Siapa yang hendak bertanding dan tidak bertanding, bagi pihak SPR, kami cuma menyediakan gelanggang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kesemua 29 kerusi DUN tanpa bertanding itu dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Tanjung Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.
Turut dimenangi tanpa bertanding oleh GPS ialah kerusi DUN Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.
Dalam pada itu, Ramlan berkata SPR masih belum menilai jumlah penjimatan atau pelarasan susulan 29 kerusi berkenaan tidak melibatkan proses pengundian dan perkara tersebut akan diselaraskan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata berikutan perkembangan itu, sebanyak 632,149 pengundi berdaftar di 29 kawasan DUN yang dimenangi tanpa bertanding itu, tidak perlu keluar mengundi pada PRN kali ini pada 12 Dis.
“Berdasarkan perkiraan kita, 29 kerusi terbabit melibatkan kira-kira 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.06 juta pengundi berdaftar di negeri Sarawak,” katanya.
Beliau menyeru pengundi di kawasan berkenaan menyemak butiran berkaitan dan mendapatkan maklumat terkini menerusi portal MySPR, supaya tidak hadir ke pusat mengundi pada hari pengundian.
Mengulas rujukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu majoriti mudah pada hari penamaan calon, Ramlan berkata pandangan dasar AGC menyatakan proses pilihan raya perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum pembentukan kerajaan boleh dilaksanakan.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. — BERNAMA






























