Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik menjadi sandaran utama negara bagi acara beregu di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Bekas pasangan No.1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon memilih gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk menjadi juara di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan Kevin Sanjaya Sukamuljo itu menyifatkan prestasi gandingan No.5 dunia itu mampu meraih emas di Paris selain pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
“Saya masih memberi sokongan kepada Fajar-Rian. Namun saya melihat Aaron-Wooi Yik ada peluang yang cerah untuk melakar kejutan di Paris nanti.
“Rexy Mainaky (pengarah kejurulatihan negara) mampu memberi sentuhan kejuaraan. Kehadiran Rexy dalam kejohanan besar selalunya memberi tuah,” katanya.
Kelmarin, Marcus bersama bekas pemain negara Tan Boon Heong serta pemain profesional, Ong Yew Sin beraksi dalam perlawanan pertunjukkan di sebuah dewan badminton, di Kepong.
Biarpun Aaron-Wooi Yik tidak berstatus sebagai pilihan di Paris, Marcus menganggap itu satu kelebihan untuk mengawal tekanan mereka ketika kejohanan berlangsung.
Menurut beliau, status bukan pemain pilihan mampu meningkatkan motivasi sekali gus mempamerkan ‘taring’ mereka yang sebenar pada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Situasi saya dengan Kevin dulu sangat berbeza jika mahu bandingkan dengan Aaron-Wooi Yik. Kami dengan status No.1 dunia dan orang meletakkan harapan yang tinggi kepada kami.
“Perkara itu sangat menyukarkan kami untuk beraksi dengan baik. Sekarang Aaron-Wooi Yik tiada tekanan dan saya percaya itu menjadi faktor mereka mempamerkan aksi terbaik,” katanya.
Marcus-Kevin mengumumkan persaraan awal tahun ini selepas gagal memenangi gelaran pada kejohanan utama termasuk Olimpik dan Kejohanan Dunia, tahun lalu.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik menewaskan gandingan Indonesia terbabit pada suku akhir Olimpik Tokyo sekali gus membawa pulang pingat gangsa ketika itu.


































