Beberapa pihak menawarkan ganjaran wang tunai bagi membantu mencari Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri.
JOHOR BAHRU: Beberapa pihak tampil menawarkan ganjaran wang tunai kepada individu berjaya membantu menemukan seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, seorang pemilik kafe yang hanya dikenali sebagai Phang menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menemukan Albertine Leo Jia Hui, 6.
“Sesiapa yang berjaya bantu menemukan kanak-kanak itu, boleh ke Six Cafe Borneo yang beralamat di Taman Stulang Laut untuk ambil duit RM10,000,” tulisnya seperti yang tular dalam media sosial, hari ini.
Pihak berkenaan juga boleh menghubunginya menerusi talian 011-36693611.
Tawaran sama turut dibuat seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Wang Li Hong.
Kehilangan kanak-kanak perempuan itu tular dalam pelbagai platform media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau turut berkongsi hantaran yang tular itu dalam platform media sosial rasminya dalam usaha membantu mengesan kanak-kanak berkenaan.
“Saya terima laporan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hilang pada 20 Julai lalu pada pukul 8.30 malam akibat terpisah daripada keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri.
“Polis sedang berusaha mencari dan mengesan kanak-kanak tersebut. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak tersebut untuk lapor segera ke balai polis berhampiran,” katanya.
Semalam Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan memberitahu, kali terakhir kanak-kanak itu dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ pada bahagian dada dan berseluar pendek.


































