KOTA KINABALU: Sabah sedang meneliti untuk mengadaptasi konsep kebun komuniti China bagi menggalakkan lebih ramai penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kondominium dan pangsapuri, menyertai aktiviti pertanian bandar menerusi inisiatif Kebun Dapur negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata konsep yang menyediakan petak tanaman khusus kepada penduduk yang tidak mempunyai tanah sendiri itu antara inisiatif yang menarik perhatiannya dalam lawatan beliau di Guangzhou, China.
Beliau berkata menerusi konsep itu, penduduk boleh mengusahakan tanaman sayur-sayuran sendiri selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu, selaras dengan usaha Sabah memperluas penyertaan masyarakat dalam pengeluaran makanan.
Jamawi berkata perbincangan telah diadakan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi meneroka kemungkinan menggunakan tanah terbiar milik pihak berkuasa tempatan itu untuk dijadikan kawasan kebun komuniti.
Inisiatif berkenaan akan diteroka secara bersama oleh agensi berkaitan pertanian dan industri makanan Malaysia (MAPI) serta DBKK.
Usaha turut dilakukan untuk memperkenalkan konsep Kebun Dapur di kawasan premis jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.
Beliau berkata lawatan itu turut memberi pendedahan kepada delegasi mengenai penggunaan bioteknologi dan inovasi penyelidikan di China dalam meningkatkan nilai serta daya saing pasaran produk pertanian.
Mengambil contoh yang dipamerkan di taman berkenaan, Jamawi berkata produk ketam bernilai tinggi dan teknologi penternakan ayam menunjukkan bagaimana penyelidikan saintifik serta aplikasi teknologi mampu meningkatkan nilai produk pertanian dan menambah pendapatan petani serta penternak.
Beliau berkata Sabah mempunyai ramai usahawan muda yang memiliki sumber kewangan dan keupayaan pelaburan untuk menceburi sektor berkenaan.
Katanya, gabungan inisiatif kerajaan dengan modal, teknologi dan rangkaian perniagaan sektor swasta mampu mempercepat pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah atas penganjuran lawatan itu yang memberi peluang kepada wakil perniagaan daripada pelbagai sektor melihat sendiri perkembangan pertanian moden di China serta meneroka peluang kerjasama lanjut antara Malaysia dan China dalam bidang pertanian dan industri makanan.






























