TELUK INTAN (Bernama): Seorang pesara guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan berusia 13 hingga 15 tahun pada 2024 dan tahun lepas.
Zaidi Abbas, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Lelaki itu didakwa selaku individu yang mempunyai hubungan amanah sebagai guru ketika kejadian melakukan perbuatan tersebut bagi maksud seksual terhadap tujuh mangsa itu.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Mei 2024 dan 7 Julai 2025 di bilik khas dan kantin sebuah sekolah menengah di Langkap selain di dalam sebuah kenderaan di sekitar kawasan berkenaan serta ketika dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan selain penjara tambahan hingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam Koh Shean Wai merayu jaminan itu dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya menanggung isteri, ibu serta empat anak yang masih bersekolah rendah dan menengah dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.
Beliau berkata anak guamnya yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak berisiko melarikan diri kerana mahu membersihkan namanya di mahkamah serta bersedia mematuhi segala syarat tambahan ditetapkan mahkamah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan serta menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes. — BERNAMA





























