Fahmi Fadzil
MELAKA (Bernama): Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata berdasarkan laporan harian yang diterima daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), tiada sebarang insiden keselamatan siber yang terlalu membimbangkan disahkan berlaku setakat ini.
Beliau berkata tahap kesiapsiagaan NACSA kini berada pada paras amber alert atau tahap sederhana susulan dakwaan berlakunya serangan siber di media sosial baru-baru ini.
Menteri itu berkata NACSA telah meneliti dakwaan pencerobohan yang tersebar namun belum ada kepastian berhubung kesahihan kejadian yang dimaksudkan itu.
“Saya dapat laporan daripada pihak NACSA secara harian dan setakat ini tidak ada insiden yang dimaklumkan oleh pihak NACSA yang terlalu membimbangkan. Walau bagaimanapun, tahap kesediaan pihak NACSA berada pada disebut sebagai amber alert. Maksudnya tahap kesiapsiagaan yang sederhana.
“Setakat ini ada dakwaan serangan, ada dakwaan pencerobohan dan pihak NACSA memaklumkan tidak ada kepastian setakat ini tentang kejadian-kejadian yang dimaksudkan yang mungkin tersebar dalam media sosial dan sekiranya ada apa-apa yang berlaku, sudah pasti sumber rasminya adalah pihak NACSA. Setakat ini belum ada,” katanya.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika menghadiri program tinjauan mesra bersama calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Muhammad Hakimin Mokhtar di Pasar Malam Ayer Molek di sini, hari ini.
Turut serta Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. — BERNAMA






























