SUNGAI PETANI (Bernama): Mayat seorang wanita yang hampir mereput ditemukan terapung dalam sungai berdekatan Pekan Lama di sini, pada 1.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mayat tanpa pakaian dalam keadaan terlentang itu ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
“Identiti mayat belum dapat dikenali pasti mahupun bangsanya, jadi diminta masyarakat yang ada kehilangan ahli keluarga datang untuk buat laporan polis.
“Setakat ini kita klasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR), kita akan tengok sama ada terdapat tanda perlakuan ataupun perbuatan berunsur jenayah selepas bedah siasat nanti,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Hanyan berkata keadaan mayat yang sudah mereput juga menyukarkan proses mengenal pasti status warganegara, selain kesan kecederaan sukar dipastikan.
“Kita akan tengok di daerah ini dan daerah berdekatan jika ada laporan orang hilang yang menyamai deskripsi iaitu seorang wanita lingkungan umur 30-an,” katanya.
Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk proses bedah siasat. — BERNAMA






























