TUARAN: Keperluan warga emas, khususnya mereka yang mempunyai keterbatasan pergerakan, perlu diambil kira dalam perancangan kemudahan awam dan pengangkutan bagi memastikan mereka dapat menjalani urusan harian dengan lebih mudah dan selamat.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Dr Bonaventure Boniface berkata akses kepada perkhidmatan kesihatan serta peluang menyertai aktiviti komuniti juga penting bagi menyokong penuaan aktif.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Daerah Tuaran 2026 anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tenghilan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, yang membawa tema “Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni”.
Dr Bonaventure turut menggalakkan warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan kekal aktif mengikut kemampuan masing-masing, selain menyeru ahli keluarga supaya meluangkan masa bersama ibu bapa serta ahli keluarga yang lanjut usia dan peka terhadap perubahan kesihatan serta emosi mereka.
“Satu panggilan telefon, satu kunjungan, satu pertanyaan tentang keadaan kesihatan atau sekadar duduk berbual bersama mereka mungkin membawa makna yang sangat besar,” katanya.
Beliau turut menyeru ketua kampung, pemimpin masyarakat dan pertubuhan setempat supaya mengenal pasti warga emas yang tinggal bersendirian, kurang berkemampuan atau menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan, agar keperluan mereka dapat dirujuk kepada pihak berkaitan untuk penyelarasan bantuan.
Menurutnya, pengalaman warga emas di Tuaran dalam bidang pertanian, perikanan, perniagaan, pendidikan dan adat resam juga wajar dikongsi dengan generasi muda.
Katanya, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan program komuniti menyediakan ruang kepada golongan itu untuk terus menyumbang serta bergaul dengan masyarakat.
Sementara itu, Klinik Family Care turut menyokong sambutan berkenaan menerusi pemeriksaan kesihatan di bawah program PeKa B40, manakala Pemuda PBS Bahagian Tamparuli menganjurkan kempen derma darah.
Program itu turut menampilkan pameran dan ceramah kesihatan, perkhidmatan pergigian percuma serta kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dr Bonaventure merakamkan penghargaan kepada penganjur, petugas kesihatan, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan.






























