KOTA KINABALU (Bernama): Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi nasihat keselamatan serta langkah-langkah perlu, apabila berdepan banjir dan menangguhkan sebarang aktiviti melibatkan rekreasi air sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz berkata penduduk perlu segera berpindah ke pusat pemindahan apabila diarahkan pihak berkuasa, atau sekiranya kenaikan air banjir mengancam kediaman mereka.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meredah kawasan banjir, sama ada dengan berjalan kaki mahupun memandu kenderaan kerana kedalaman serta kekuatan arus deras, berupaya menghanyutkan sesiapa sahaja.
“Ibu bapa juga diingatkan supaya mengawasi pergerakan anak-anak dan melarang mereka bermain air banjir, bagi menghindarkan risiko lemas atau bahaya lain,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik, penghuni rumah dinasihatkan mematikan bekalan kuasa utama sebelum meninggalkan kediaman dengan syarat keadaan masih selamat, selain tidak menyentuh peralatan elektrik di kawasan basah.
Beliau turut meminta orang ramai menjauhi sebarang kabel elektrik yang putus atau terjatuh, serta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa atau syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd.
Selain kesiapsiagaan menghadapi banjir, Mohd Pisar menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan semua aktiviti rekreasi air, termasuk mandi-manda, berenang, berkelah serta berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun dan tali air sepanjang musim MTL ini.
Beliau berkata langkah penangguhan itu penting, berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan hulu, yang berupaya melonjakkan paras air secara mendadak sehingga mencetuskan fenomena kepala air yang boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.
“Fenomena kepala air boleh berlaku dalam sekelip mata akibat hujan lebat di kawasan tadahan dan orang ramai jangan tunggu sehingga air menjadi deras untuk bertindak,” katanya.
Mohd Pisar turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap ramalan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda amaran keselamatan, yang diletakkan di lokasi tumpuan riadah.
Beliau menggesa orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan 999, sekiranya berdepan sebarang situasi kecemasan atau melihat tanda-tanda awal kepala air, bagi membolehkan operasi penyelamatan digerakkan tanpa kelewatan.
Selain itu, Mohd Pisar mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran di rumah, dengan memupuk amalan berwaspada sejak usia kanak-kanak.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak daripada bermain suis atau perkakasan elektrik tanpa kawalan, di samping memastikan tangan sentiasa kering dan mengelakkan beban soket yang berlebihan.
“Sekiranya berlaku insiden kebakaran atau terlihat asap di kediaman, penghuni diminta keluar segera melalui laluan selamat secara tenang dan membantu ahli keluarga tanpa masuk semula ke premis berkenaan,” katanya.
Mohd Pisar mengingatkan orang ramai agar tidak cuba memadamkan kebakaran sekiranya keadaan mengancam nyawa, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada pasukan bomba.
Beliau menegaskan bahawa usaha mencegah kebakaran merupakan tanggungjawab bersama-sama setiap lapisan masyarakat demi melengkapi peranan jabatan itu sebagai tonggak penyelamatan negara. — BERNAMA






























