LABUAN (Bernama): Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama penyelidikan dan industri dalam kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta teknologi baharu menerusi pemeteraian empat surat hasrat (LoI) dengan rakan industri pada dua persidangan akademik antarabangsa yang diadakan di sini hari ini.
LoI berkenaan dimeterai bersama pihak StratAgile Borneo Sdn Bhd, Live Laugh Love (LLL) Inc., Exabytes Network Sdn Bhd serta Tiger Oilfield Services (M) Sdn Bhd bagi meningkatkan kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, inovasi teknologi, latihan profesional serta pembangunan pelajar.
Majlis penandatanganan itu berlangsung bersempena dengan 3rd International Conference on Advances in Machine Intelligence and Cybersecurity Technologies (AMICT 2026) danInternational Postgraduate Symposium on Computing and Informatics (IPoSCI 2026) yang julung kali dianjurkan Fakulti Komputeran dan Informatik (FCI) UMS di sini.
AMICT 2026 menerima 224 penyertaan kertas penyelidikan, dengan 68 kertas penyelidikan telah diterima dan didaftarkan untuk pembentangan, manakala IPoSCI 2026 menampilkan 18 kertas penyelidikan hasil kajian pelajar pascasiswazah.
Persidangan berkenaan menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal industri dan pelajar pascasiswazah bagi berkongsi ilmu, mengetengahkan hasil inovasi serta meneroka peluang kerjasama penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Pengarah Kampus Antarabangsa Labuan UMS (UMSKAL) Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin yang merasmikan majlis pembukaan bagi pihak Naib Canselor universiti itu, menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan dan pemain industri dalam memacu inovasi serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata teknologi baharu termasuk AI, analitik data raya, Internet benda (IoT) dan keselamatan siber kini semakin penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri serta transformasi digital.
Kedua-dua persidangan berkenaan turut mengetengahkan potensi penggunaan teknologi digital dalam menyokong pembangunan mampan di Sabah dan Labuan, khususnya menerusi aplikasi akuakultur pintar, pemantauan marin, pengesanan keadaan persekitaran serta pengurusan sumber berasaskan data.
Sementara itu, Dekan FCI Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berkata AMICT terus mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti penyelidikan antarabangsa sejak mula dianjurkan pada 2023.
Beliau berkata persidangan kali pertama yang diadakan secara maya pada Disember 2023 mencatatkan penerimaan 29 kertas penyelidikan, manakala edisi 2025 menerima 162 penyertaan, dengan 58 daripadanya dipilih untuk dibentangkan.
“Pertambahan jumlah kertas penyelidikan diterima kepada 224 tahun ini membuktikan penyertaan yang semakin meningkat serta minat semakin mendalam terhadap penyelidikan berkaitan pengkomputeran, keselamatan siber dan teknologi digital terkini,” katanya.
Beliau berkata persidangan berkenaan turut menyediakan platform kepada pelajar pascasiswazah dan penyelidik baharu untuk membentangkan hasil kajian, mendapatkan maklum balas daripada pakar serta membina jaringan kerjasama dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri.
Penganjuran kedua-dua persidangan itu mendapat kerjasama daripada beberapa organisasi termasuk Majlis Dekan ICT Malaysia (MADICT), Labuan Mainland Link Sdn Bhd, Tiger Oilfield Services (M) Sdn Bhd, Malaysia Airlines, Tourism Malaysia serta LLL Inc., dengan IEEE Sabah Subsection sebagai penaja teknikal. — BERNAMA






























