Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: UiTM Tawau mesti dikekalkan sebagai kampus yang berfungsi sepenuhnya, manakala identiti institusi, fungsi akademik dan peranannya dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada anak Sabah perlu dipertahankan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berhubung kedudukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau yang sedang melalui proses kajian semula atau rasionalisasi operasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Walaupun Menteri dilaporkan menjelaskan bahawa kampus berkenaan tidak akan ditutup, Nizam berkata cadangan rasionalisasi operasi serta kemungkinan penggunaan kemudahan kampus sebagai hab pendidikan yang melibatkan institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai masa depan sebenar UiTM Tawau.
“Sebagai pemimpin yang berasal dari Tawau, saya ingin menegaskan bahawa UiTM Tawau mesti dikekalkan sebagai sebuah kampus UiTM yang berfungsi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mengekalkan sesebuah kampus bukan sekadar memastikan bangunannya terus digunakan untuk tujuan pendidikan, sebaliknya identiti institusi, fungsi akademik dan peluang pengajian perlu terus dipertahankan.
Katanya, sejak mula beroperasi pada 1996, UiTM Tawau memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi, khususnya kepada anak-anak Bumiputera dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan lain di Pantai Timur Sabah.
Kewujudan kampus itu membolehkan pelajar tempatan melanjutkan pengajian tanpa menanggung kos tambahan bagi perjalanan, penginapan dan sara hidup di daerah atau negeri lain, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah, katanya.
Beliau turut berkata angka 254 pelajar setakat 30 September 2026 yang dibangkitkan Menteri di Parlimen tidak seharusnya dijadikan satu-satunya asas untuk menentukan keperluan atau tahap penggunaan kampus berkenaan.
Sebaliknya, penilaian menyeluruh perlu mengambil kira kapasiti sebenar kemudahan akademik, termasuk bilik kuliah serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran, dan bukannya hanya berdasarkan kapasiti penginapan yang tersedia.
Sehubungan itu, Nizam berharap KPT dapat memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai asas penilaian yang digunakan dalam cadangan rasionalisasi berkenaan bagi memastikan sebarang keputusan mengambil kira keadaan sebenar operasi kampus serta keperluan pendidikan masyarakat di Pantai Timur Sabah.
Beliau berkata UiTM Tawau masih mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan, termasuk melalui penawaran program pengajian yang lebih pelbagai dan bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan serta industri tempatan.
“Kita mahu memperluas peluang pendidikan tinggi untuk anak-anak Tawau. Sekiranya terdapat perancangan untuk mewujudkan institusi pendidikan baharu, ia sewajarnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau,” katanya.
Beliau menggesa KPT memberikan jaminan jelas bahawa cadangan rasionalisasi itu tidak akan menyebabkan UiTM Tawau kehilangan identiti, fungsi akademik dan kedudukannya sebagai kampus UiTM di Pantai Timur Sabah.
Nizam turut berharap sebarang perancangan berkaitan masa depan kampus itu mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni dan masyarakat setempat.
Katanya, UiTM Tawau merupakan sebahagian daripada sejarah pembangunan pendidikan tinggi di daerah itu, justeru usaha generasi terdahulu untuk mewujudkannya perlu dihargai dengan memastikan peluang pendidikan yang tersedia terus dipelihara dan dikembangkan untuk generasi akan datang.






























