KOTA KINABALU: BIMP-EAGA Friendship Games 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serantau serta memperkasa golongan belia, dengan Sabah menegaskan komitmennya terhadap pembangunan sukan dan kerjasama rentas sempadan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MySpaCe), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya itu melangkaui aspek pertandingan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah bermakna untuk memupuk persahabatan dan muhibah dalam kalangan negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.
“Dengan penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai, temasya ini benar-benar mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan serantau yang amat kita hargai,” katanya.
Beliau berkata, temasya itu menghimpunkan atlet bawah umur 21 tahun yang bertanding dalam sembilan acara termasuk olahraga, renang, badminton dan sepak takraw, selain e-sukan yang mencerminkan perubahan landskap penglibatan belia masa kini.
“Sukan merupakan medium berkesan dalam membentuk sahsiah, memupuk disiplin serta menyemai daya tahan dalam kalangan belia,” katanya sambil menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memajukan belia dan sukan sebagai pemacu utama kemajuan sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Terdahulu, Setiausaha Tetap MySpaCe, Datuk Mansur Asun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui penganjuran temasya itu, sambil menyifatkannya sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab besar.
Beliau menegaskan komitmen kukuh Kerajaan Negeri dalam pembangunan belia melalui sukan, dengan menyatakan platform seperti ini memainkan peranan penting dalam melahirkan kepimpinan, disiplin dan jati diri yang tinggi dalam kalangan generasi muda.
“Kami percaya sukan adalah kuasa penyatu yang ampuh. Melalui penganjuran seperti ini, kita dapat mengeratkan hubungan antara negara anggota BIMP-EAGA di samping memperkukuh kerjasama serantau yang menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan kemajuan ekonomi,” katanya.
Mansur berkata, Sabah berbesar hati menjadi tuan rumah edisi kali ini, dengan pelbagai persiapan rapi dilaksanakan bagi memastikan kelancaran dan kejayaan penganjurannya.
“Kami berharap temasya ini bukan sahaja berjaya dari segi pelaksanaan, malah meninggalkan impak bermakna dan berkekalan kepada semua peserta,” katanya sambil menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas bagi penambahbaikan pada masa hadapan.
Pertandingan akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar ibu negeri termasuk Kompleks Sukan Likas dan Pusat Akuatik Likas, selain dewan komuniti serta kemudahan sukan terpilih.
Dalam pada itu, Nizam dan Mansur turut mengalu-alukan kehadiran peserta untuk menikmati kepelbagaian budaya serta keindahan alam semula jadi Sabah, dengan harapan temasya ini akan meninggalkan kenangan manis di luar gelanggang pertandingan.
Walaupun menekankan semangat persaingan, Nizam menegaskan nilai kesukanan, disiplin dan saling menghormati kekal menjadi teras utama, dengan persahabatan serta pengalaman bersama menjadi nilai sebenar temasya ini.
BIMP-EAGA Friendship Games 2026 dijangka terus memperkukuh kerjasama serantau selain mempromosikan pembangunan belia melalui sukan.


































