Julita (kanan) meletakkan tandatangan sebagai gimik perasmian program.
KOTA KINABALU : Kerajaan komited dalam memperkukuhkan sokongan kesihatan mental khususnya di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, Sabah berdepan beberapa cabaran kependudukan yang memerlukan perhatian bersama, antaranya kesihatan mental dan penuaan penduduk.
“Berdasarkan dapatan National Health and Morbidity Survey (NHMS), prevalens kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia meningkat daripada 17.7 peratus pada tahun 2012 kepada 26.9 peratus pada tahun 2022.
“Peratus remaja yang melaporkan berasa kesunyian turut meningkat daripada 8.1 peratus kepada 16.2 peratus dalam tempoh yang sama dan menunjukkan perkembangan tersebut memerlukan kita untuk memperkukuh sokongan kesihatan mental di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti.
“Dalam usaha memperkukuh sokongan kesihatan mental, Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) diperkasa bagi merawat kecelaruan mental dan memberi kaunseling.
“Program saringan kesihatan mental dan fizikal diselaraskan di peringkat sekolah dan komuniti serta turut melibatkan kempen kesedaran, saringan di kawasan luar bandar dan Program Sabah Sihat bagi mendekatkan khidmat psikologi kepada rakyat.
“Usaha ini juga terus diperkasa melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ), yang bertujuan mempromosi kesihatan dan kesejahteraan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Sabah Sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia Tahun 2026, di Dewan Rafflesia Politeknik, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, Sabah juga berdepan dengan fenomena penuaan penduduk yang memerlukan perancangan rapi.
“Peralihan demografi memerlukan sistem sokongan yang mesra usia, termasuk penjagaan kesihatan, persekitaran komuniti dan sokongan keluarga yang mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri Sabah juga terus memperkasa institusi keluarga serta memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya di bawah pemacu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.
“SMJ 2.0 turut memberi perhatian kepada akses kesihatan, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat secara inklusif, kerana pendekatan tersebut penting bagi memastikan aspek kesihatan mental, sokongan keluarga dan keperluan masyarakat di seluruh Sabah diberi perhatian.
“Institusi keluarga juga penting dalam membentuk keperibadian anak-anak kerana dalam era digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI), ibu bapa berdepan cabaran yang semakin kompleks.
“Oleh itu sokongan seperti bimbingan keibubapaan dan sokongan psikososial perlu terus diperkukuh”, tambahnya lagi.
Beliau menyeru supaya sentiasa mendengar suara anak muda, mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental dan membina persekitaran yang menyokong sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan serta membentuk keluarga dalam suasana yang stabil, adil dan penuh harapan.
Terdahulu, program tersebut diisi dengan Forum Kependudukan: Kesihatan Mental: Dari Stigma ke Sokongan “Mengintegrasi Sistem Sokongan Komuniti yang dibarisi oleh ahli-ahli panel hebat antaranya Pensyarah dan Ketua Editor Jurnal Psikologi Southeast Asia, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) UMS, Aminuddin Ibrahim, Pakar Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang, Dr. Koh Yunn Min, Kaunselor UCSF, Suhaifah Irna Musalim, dan moderator daripada FPKS, Norhamidah Jarimal @ Safri.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Maria Chong; Pengarah LPPKN, Shahriah Saharom; Pensyarah Kanan UMS, Dr. Maine Suadik; dan Ketua Pentadbiran, Perkhidmatan Korporat dan Perhubungan Awam IDS, Corina Emily Claudius.




























