Pasukan Kadet Bomba SK Kolombong Kota Kinabalu antara pasukan yang mengambil bahagian bagi kategori Sekolah Rendah.
KOTA KINABALU: Lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di Dataran Bandaraya pada 31 Ogos ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, jangkaan itu berdasarkan sambutan tahun lalu yang mencatat kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung.
“Jumlah kehadiran tahun ini dijangka lebih tinggi berikutan penyertaan sebanyak 179 kontinjen dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan.
“Perarakan dijangka bermula jam 7.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 10.30 pagi.
“Dengan barisan kontinjen yang begitu ramai, kita menjangkakan lebih 50,000 pengunjung akan hadir menyaksikan sambutan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di Dataran Bandaraya, di sini, pada Sabtu.
Sabin berkata, Sambutan Hari Sabah turut diadakan di lokasi sama pada malam 31 Ogos bermula jam 7.00 malam.
“Saya menyeru penduduk Kota Kinabalu, rakyat Sabah serta para pelancong supaya datang beramai-ramai memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan pada sebelah pagi dan Hari Sabah pada sebelah malam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membawa bekalan air minuman sendiri berikutan keadaan cuaca panas dan berjerebu.
Katanya, minuman disediakan untuk peserta kontinjen, namun pengunjung digalakkan membawa air mineral sebagai persediaan tambahan.
“Saya juga berharap botol air mineral dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan supaya kebersihan Dataran Bandaraya sentiasa terpelihara,” katanya.
































