KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menekankan agar Qhazanah Sabah Berhad terus menambah baik serta memperkukuh perancangan strategik organisasi bagi memastikan pengurusan aset dan pelaburan negeri dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, langkah tersebut amat penting dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang semakin kompleks, di samping memastikan setiap inisiatif yang dirangka mampu memberikan pulangan mampan kepada negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, Qhazanah Sabah juga perlu lebih proaktif dalam meneroka peluang baharu, termasuk dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Sabah.
Masidi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Qhazanah Sabah yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Anifah Aman di pejabatnya, di sini.
Masidi turut menitikberatkan kepentingan tadbir urus yang baik, pemantauan berterusan serta pendekatan inovatif dalam setiap pelaksanaan projek bagi memastikan setiap pelaburan yang dibuat benar-benar memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Beliau menegaskan bahawa setiap inisiatif pelaburan perlu dilaksanakan secara berhemah dan berfokus, selain mengambil kira impak jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Masidi turut menambah bahawa Kementerian Kewangan Sabah sentiasa menyokong segala usaha penambahbaikan dan pengukuhan strategi yang dilaksanakan oleh Qhazanah Sabah, khususnya dalam memastikan setiap perancangan selari dengan dasar kewangan negeri.
Katanya, usaha itu juga penting dalam memperkukuh kedudukan fiskal Sabah secara keseluruhan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri.
Terdahulu, kunjungan tersebut turut membincangkan pembentangan bertajuk “Arah Strategik dan Hala Tuju Qhazanah Sabah Berhad” yang memfokuskan kepada perancangan masa depan serta strategi memperkukuh peranan agensi itu dalam memperkasa ekonomi negeri.
Pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan pengurusan aset dan pelaburan dilaksanakan secara lebih berkesan demi manfaat jangka panjang Sabah.


































