Mohd. Isyak Ayub
KOTA KINABALU: Kira-kira RM96.5 juta hasil Cukai Jualan Negeri (CJN) berjaya dikutip daripada PETRONAS dan anak syarikatnya bagi tempoh Mac hingga April 2026.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd. Isyak Ayub berkata, jumlah itu menunjukkan anggaran peningkatan hasil sebanyak RM8.9 juta atau 23 peratus sebulan berbanding kutipan Februari 2026.
Namun, beliau menjelaskan angka tersebut masih berasaskan andaian tertentu dan jumlah sebenar mungkin berubah mengikut perkembangan semasa pasaran.
“Selaras dengan Seksyen 14 Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, bayaran CJN bagi tempoh bercukai Mac dan April 2026 masing-masing akan genap pada 28 April dan 28 Mei. Oleh itu, impak sebenar terhadap hasil negeri hanya dapat ditentukan selepas bayaran diterima.
“Bagi tujuan gambaran awal, kementerian membuat unjuran berdasarkan prestasi semasa melibatkan jumlah jualan, harga minyak, kadar pertukaran mata wang serta kadar CJN lima peratus,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) mengenai hasil pendapatan CJN yang dikenakan terhadap PETRONAS susulan kenaikan harga petroleum akibat konflik di Timur Tengah dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Mohd. Isyak berkata, konflik di Timur Tengah sejak awal Mac 2026 telah mendorong peningkatan ketara harga minyak dunia.
Berdasarkan data U.S. Energy Information Administration, katanya, harga purata minyak mentah Brent meningkat daripada USD71 setong pada Februari 2026 kepada USD103 setong pada Mac 2026, iaitu kenaikan sekitar 45.5 peratus.
“Setakat penutupan pasaran pada Jumaat, 24 April 2026, harga minyak mentah Brent berada pada paras USD106 setong. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak sepenuhnya diterjemahkan kepada peningkatan hasil negeri.
“Ini kerana pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat telah mengurangkan nilai jualan apabila ditukar kepada mata wang tempatan. Kadar pertukaran semasa pada penutupan pasaran 24 April adalah RM3.97,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun harga minyak meningkat dengan ketara, pertumbuhan hasil negeri adalah lebih sederhana.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan hasil cukai tidak bergantung kepada harga semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi faktor lain seperti kadar pertukaran mata wang, jumlah pengeluaran dan situasi pasaran global.
“Seperti yang kita maklum, pasaran minyak dunia masih tidak menentu. Justeru, unjuran ini hanya memberi gambaran awal kerana dinamik pasaran boleh berubah secara drastik dalam tempoh singkat,” jelasnya.
































