Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan hak 40 peratus hasil Sabah merupakan kunci kepada kekuatan kewangan dan pelaksanaan pembangunan negeri.
Beliau berkata, tanpa pemulangan hak tersebut seperti termaktub dalam Perlembagaan, Sabah akan terus berdepan kekangan kewangan yang menghambat pelaksanaan projek penting.
“Jika hak 40 peratus ini dikembalikan, di situlah letaknya maruah dan kekuatan kewangan kita. Kita tidak lagi perlu terikat kepada birokrasi panjang yang akhirnya membunuh kecekapan,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Madius berkata, kebergantungan kepada pinjaman dan kelulusan Kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak projek tertangguh serta kos meningkat berkali ganda.
Beliau memberi contoh projek penaiktarafan kemudahan barge di Pelabuhan POIC Lahad Datu yang pada asalnya dianggarkan berjumlah RM8 juta, namun meningkat hampir dua kali ganda kepada RM16 juta akibat kelewatan kelulusan.
Katanya, keadaan itu memaksa proses permohonan diulang semula kerana kos asal tidak lagi relevan dengan harga semasa.
Dalam pada itu, Madius turut menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan infrastruktur di Pusat Perindustrian dan Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu yang disifatkan masih belum bersedia untuk menarik pelabur antarabangsa.
Beliau mendedahkan bekalan air terawat di kawasan itu berada pada tahap kritikal dengan margin simpanan negatif 40 peratus.
“Bagaimana kita mahu menjemput pelabur ke kawasan industri, sedangkan keperluan asas seperti air pun tidak mencukupi?” katanya.
Selain itu, beliau berkata, hasrat menjadikan Lahad Datu sebagai hab industri dan Zon Perdagangan Bebas tidak akan tercapai selagi ekosistem logistik tidak diperkukuh.
Katanya, Lapangan Terbang Lahad Datu masih belum mencapai taraf antarabangsa dan tidak mampu mengendalikan pesawat besar termasuk kargo, sekali gus menjejaskan keupayaan menjadi pintu masuk global.
“Pelabuhan ada, tetapi belum optimum. Jalan raya pula tidak mencapai standard industri, manakala sistem kereta api masih menggunakan lokomotif lama dan tidak sampai ke kawasan perindustrian.
“Kita ada komponen, tetapi tiada ekosistem pelaburan yang lengkap dan berfungsi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan isu keterjaminan makanan yang disifatkan berada pada tahap membimbangkan apabila Sabah hanya mampu menghasilkan sekitar 20 peratus keperluan beras sendiri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan negeri bergantung sehingga 80 peratus kepada bekalan luar, sekali gus menjejaskan kedaulatan makanan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sasaran tahap sara diri beras ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus.
Mengulas lanjut, Madius menegaskan pembangunan Lahad Datu perlu diberi keutamaan segera termasuk pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas, naik taraf lapangan terbang serta pengukuhan infrastruktur logistik.
“Bukan esok, bukan dalam tempoh lima tahun lagi, tetapi sekarang. Jika tidak, kita akan terus bertanya mengapa pelabur tidak datang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat Sabah semakin hilang kesabaran terhadap kelewatan pelaksanaan projek dan mahukan hasil yang nyata.
“Tanpa hak 40 peratus ini, kita hanya akan terus merancang tanpa mampu membina. Namun jika ia ditunaikan, Sabah mampu berdiri sendiri, membina dan memimpin,” katanya.
Madius menegaskan sokongan beliau terhadap ucapan dasar kerajaan dengan menyeru semua pihak supaya bersatu menuntut hak Sabah serta memperkukuh asas pembangunan negeri.
































