Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri belum mempunyai perancangan untuk mewujudkan Majlis Daerah Sook kerana daerah itu masih belum memenuhi beberapa kriteria ditetapkan bagi penubuhan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pewujudan Majlis Daerah memerlukan penelitian rapi bagi memastikan semua syarat dipenuhi terlebih dahulu.
“Antara kriteria bagi pewujudan PBT baharu bertaraf Majlis Daerah ialah mempunyai populasi kurang daripada 150,000 orang serta hasil pendapatan tahunan melebihi RM5 juta dan kurang daripada RM25 juta.
“Selain itu, daerah berkenaan perlu mempunyai kemudahan infrastruktur dan utiliti awam mencukupi serta berkeupayaan menyediakan perkhidmatan perbandaran asas selaras dengan fungsi utama PBT,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menubuhkan Majlis Daerah Sook, mengambil kira keluasan kawasan serta keperluan pentadbiran dan pembangunan yang semakin meningkat.
Dr. Mohd. Arifin berkata, sesuatu kawasan juga perlu mempunyai struktur tadbir urus interim yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun bagi melaksanakan fungsi PBT secara berkesan.
Tambah beliau, Sook turut perlu mendapatkan kelulusan persempadanan semula serta menyediakan pelan pembangunan yang mengenal pasti lokasi berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya masih boleh mempertimbangkan penubuhan majlis daerah walaupun belum memenuhi sepenuhnya semua kriteria tersebut.
“Pertimbangan utama adalah sama ada majlis daerah yang baharu itu mampu berdiri sendiri dengan sumber kewangan yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohd. Arifin menjelaskan bahawa PBT di negeri ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Dewan atau Majlis Bandaraya.
Katanya, setiap kategori mempunyai kriteria tersendiri yang ditetapkan berdasarkan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan garis panduan penetapan kriteria baharu naik taraf PBT.
































