Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada pasaran pelancongan dari China, Korea Selatan, Jepun serta negara-negara serantau bagi menangani cabaran akibat konflik global ketika ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan rantaian penawaran pelancongan negeri, di samping membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi pemain industri.
“Dalam hal ini, kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah sedang merancang pelaksanaan sokongan dan insentif bersasar serta mempergiat usaha pemasaran strategik bagi mengekalkan permintaan dan ketersambungan udara ke Sabah sepanjang tempoh mencabar ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Jafry berkata, antara pendekatan utama ialah memperkukuh pasaran domestik dan serantau, memperkasa pasaran Asia Utara dan Asia Tenggara, serta mempromosikan segmen pelancongan premium.
“Sebagai langkah mitigasi terhadap ketidaktentuan pasaran jarak jauh, tumpuan diberikan kepada pasaran domestik melalui kempen pelancongan dalam negara bagi mengekalkan kestabilan industri sekiranya berlaku penurunan ketibaan pelancong antarabangsa.
“Kementerian juga memberi fokus kepada pasaran China, Korea Selatan, Jepun serta negara-negara serantau yang kurang terkesan secara langsung oleh gangguan ruang udara global,” katanya.
Beliau berkata, Sabah turut dipromosikan sebagai destinasi pelancongan premium bagi menarik pelancong berkualiti tinggi yang mempunyai daya perbelanjaan lebih tinggi dan kurang terkesan oleh peningkatan kos perjalanan.
Dalam pada itu, Jafry berkata, konflik global serta kenaikan kos pengangkutan udara berpotensi memberi kesan langsung kepada industri pelancongan negeri yang bergantung kepada ketibaan pelancong antarabangsa dan kesalinghubungan udara.
“Antara implikasi yang dikenal pasti termasuk kenaikan tambang penerbangan akibat kos bahan api, perubahan laluan atau pengurangan kekerapan penerbangan, penurunan sentimen perjalanan dari pasaran utama serta pembatalan atau penangguhan rancangan perjalanan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah telah mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri termasuk persatuan pelancongan, syarikat penerbangan dan pengusaha penginapan pada 19 dan 31 Mac lalu.
Katanya, sesi tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas serta menyelaras strategi bersama bagi meningkatkan daya tahan industri pelancongan negeri dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.
“Kementerian juga akan mengadakan satu lagi sesi libat urus khas bagi membincangkan isu bekalan minyak diesel yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan.
“Kami komited memastikan industri pelancongan tempatan kekal berdaya tahan dan mampan, di samping terus menyokong pemain industri agar dapat beroperasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
































