Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) mengambil tindakan segera bagi membantu seorang wanita Sabah yang kini koma selepas diserang sakit ketika berada di Vietnam.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan panggilan video bersama suami mangsa, Jamri bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isterinya, Ruhanna Joseph.
Menurutnya, hasil perbualan itu mendapati mangsa kini berada dalam keadaan koma dan memerlukan perhatian perubatan rapi.
“Berikutan berita seorang wanita Sabah yang diserang sakit ketika berada di Vietnam, saya telah membuat panggilan video bersama suami mangsa, Saudara Jamri, bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan isteri beliau, Puan Ruhanna binti Joseph yang kini berada dalam keadaan koma,” katanya dalam satu kenyataan.
Azrul berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan YKS untuk segera menyantuni mangsa dan suaminya sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan mereka.
Beliau berkata, susulan arahan itu, Pengarah YKS, Datuk Diyanah Abdullah telah menghubungi suami mangsa bagi menguruskan proses membawa pulang Ruhanna ke Kota Kinabalu.
Katanya, pengurusan itu termasuk penyelarasan keperluan perubatan serta pengiring pakar sepanjang penerbangan pulang.
Azrul berkata, dengan mengambil kira keadaan kesihatan semasa mangsa, penerbangan pulang dijadualkan pada 30 April 2026.
Beliau turut berharap agar segala urusan dipermudahkan dan mangsa diberikan kesembuhan.






























