KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan kepentingan inovasi dalam pengurusan organisasi serta pembaharuan berterusan bagi memastikan kelangsungan dan kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
Beliau yang juga Setiausaha Agung GRS dan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan sesebuah organisasi menjadi lemah, tidak berkembang dan akhirnya tersisih.
“Perancangan masa depan parti perlu diberi keutamaan, termasuk melahirkan pelapis kepimpinan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya ketika berucap pada Taklimat Khas kepada Ketua-Ketua Bahagian serta kepimpinan Wanita, Pemuda dan Beliawanis peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Masidi berkata, pengurusan parti yang lebih tersusun amat penting, khususnya dalam memastikan struktur kepimpinan di peringkat bahagian hingga ke akar umbi kekal kukuh dan berfungsi dengan baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu turut menekankan kepentingan membina konsep kepimpinan berpasukan sebagai asas utama penstrukturan parti, berbanding hanya bergantung kepada nama parti atau individu pemimpin semata-mata.
“Setiap bahagian perlu bergerak sebagai satu pasukan kepimpinan yang bersatu bagi memperkukuh parti secara keseluruhan,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan perancangan rapi, inovasi berterusan serta pasukan kepimpinan yang mantap, parti akan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang serta mampu menangani setiap cabaran dengan lebih berkesan.
“Pembaharuan dan inovasi dalam mengurus parti mesti menjadi proses berterusan bagi memastikan Gagasan Rakyat kekal relevan sepanjang zaman,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan beberapa parti politik besar sebelum ini yang berpunca daripada kegagalan melakukan pembaharuan dalam pengurusan.
Turut hadir Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif dan Datuk Masiung Banah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi; serta tetamu kehormat lain.
































