Dr. Joachim (kiri) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam (tengah) semasa menghadiri hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam memaklumkan bahawa proses pembayaran pampasan dan bayaran sagu hati bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di DUN Silam dan Parlimen Lahad Datu kini sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut kategori tanah dan struktur terlibat.
Beliau berkata, bagi tanah berstatus geran yang mempunyai hak milik sah serta telah diwartakan, tawaran pampasan kepada pemilik kini sedang dikeluarkan selaras dengan peruntukan Ordinan Pengambilan Tanah Sabah (Bab 69).
“Pembayaran akan dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah setelah semua dokumen persetujuan lengkap diterima daripada pemilik, dan bayaran akan dibuat secara berperingkat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Silam) yang meminta penjelasan mengenai status pembayaran pampasan atau bayaran ihsan kepada pemilik tanah dan penduduk terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan berkenaan.
Dr. Joachim berkata, bagi tanah kerajaan pula, pembayaran pampasan adalah tertakluk kepada pengeluaran perintah rasmi oleh Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Daerah.
“Sehingga kini, perintah tersebut masih belum dikeluarkan, justeru pembayaran bagi kategori ini belum dapat diproses,” jelasnya.
Mengulas mengenai struktur dalam rizab jalan, Dr. Joachim berkata, tiada bayaran pampasan atau sagu hati akan diberikan selaras dengan dasar serta arahan agensi pelaksana.
Bagaimanapun, katanya, bagi struktur yang berada dalam rizab selain rizab jalan seperti rizab sungai, utiliti atau rizab agensi lain, pertimbangan bayaran sagu hati boleh diberikan.
“Ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berdasarkan garis panduan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi pembayaran pampasan kepada tanah dan struktur yang mempunyai hak milik sah.
“Peruntukan ini telah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memastikan pembayaran kepada pemilik yang layak dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
































