Tun Musa, diiringi Dr. Joachim, menyampaikan anugerah kepada penerima pada sambutan Hari Etnik Sabah.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), termasuk jabatan dan agensinya, tahun ini bagi memperkukuh industri pelancongan serta memelihara warisan budaya Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu bukan sahaja bertujuan merancakkan ekonomi negeri, malah turut menyokong usaha memelihara nilai warisan budaya serta memastikan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, sebanyak RM38.70 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sedia ada, termasuk pelaksanaan beberapa projek utama tahun ini.
Antara projek tersebut ialah menaik taraf kemudahan di Taman Peringatan Perang Petagas, pembinaan Muzium Etnik Ranau, penambahbaikan Pusat Kebudayaan Penampang, serta peningkatan produk pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut di Tenom.
“Kerajaan juga akan meneruskan usaha memperkukuh warisan dan budaya Sabah melalui pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030 bagi memastikan kepelbagaian etnik negeri ini didokumentasikan secara sistematik sebagai rujukan generasi kini dan akan datang,” katanya pada sambutan Hari Etnik Sabah yang diadakan bersempena Ulang Tahun Ke-75 Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Musa Aman merasmikan sambutan Hari Etnik Sabah tersebut.
Hajiji berkata, usaha berterusan amat penting bagi memastikan budaya tempatan kekal relevan dalam dunia yang semakin berubah, di samping terus dipelihara oleh generasi muda.
Beliau berharap persatuan etnik di negeri ini akan terus memartabatkan budaya, adat dan bahasa masing-masing agar tidak pupus, di samping memperkukuh produk budaya sebagai tarikan pelancongan.
“Usaha ini dijangka dapat membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong serta mencapai sasaran empat juta pelawat ke Sabah tahun ini,” katanya.
Beliau menambah, sambutan Hari Etnik Sabah menjadi platform untuk meraikan kepelbagaian warisan budaya dan etnik, selain menjadi simbol keharmonian serta perpaduan rakyat negeri ini.
Kini memasuki tahun keenam penganjurannya, sambutan itu turut menampilkan elemen baharu iaitu perarakan kebudayaan yang menghimpunkan pelbagai kumpulan etnik dari seluruh Sabah.
“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Budaya Kita, Tanggungjawab Kita’, ia menyeru komitmen bersama untuk memelihara dan memulihara budaya sebagai asas identiti, perpaduan sosial dan kebanggaan rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk persatuan kebudayaan berasaskan etnik serta penggiat seni, atas sumbangan mereka dalam menjayakan sambutan tersebut.
“Hari Etnik bukan sahaja platform untuk mempamerkan khazanah warisan etnik, malah membuktikan bahawa perbezaan agama, budaya dan latar belakang bukanlah pemisah, sebaliknya kekuatan yang memperkayakan identiti Sabah serta memperkukuh perpaduan rakyatnya,” katanya.






























