Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Pencapaian semasa negeri yang digariskan dalam ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah pada pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, membuktikan Sabah berada di landasan tepat untuk terus memacu pembangunan.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, kandungan ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah amat jelas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah membuktikan, parti ini memberikan hasil pada negeri dan rakyat Sabah.
Beliau berkata, pencapaian hasil negeri mencecah RM7 bilion serta rizab sebanyak RM8.6 bilion adalah bukti nyata keupayaan erajaan, sekali gus menolak dakwaan kononnya pentadbiran semasa gagal berfungsi.
“Hasil negeri RM7 bilion. Satu pencapaian tertinggi. Rizab pula RM8.6 bilion. Ini fakta. Bukan cerita dongeng… angka tidak menipu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, angka berkenaan tidak mungkin dicapai tanpa pentadbiran yang cekap, malah mencerminkan keupayaan kerajaan mengurus ekonomi negeri secara berkesan.
Aksyah turut menegaskan pelaburan sektor pembuatan meningkat kepada RM7.6 bilion, melonjak sehingga 200 peratus, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap dasar pintu terbuka kerajaan serta kestabilan politik negeri.
Mengulas isu bekalan air dan elektrik, beliau mengakui ia merupakan masalah lama, namun menegaskan Kerajaan GRS tidak menuding jari sebaliknya tekun bekerja membaiki kelemahan sedia ada.
“Kalau pembangkang bersuara, mereka kena telusuri sejarah. Mungkin mereka mudah lupa sejarah sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kini dipercepatkan dengan pendekatan lebih tegas terhadap kontraktor yang gagal, termasuk dikenakan denda.
“Tanpa infrastruktur, ekonomi akan lembap. Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor faham perkara ini dan menjadikannya keutamaan di bawah pentadbiran GRS,” katanya.
Aksyah turut memaklumkan kadar kemiskinan tegar di Sabah menunjukkan penurunan ketara dengan kira-kira 22,000 rakyat berjaya keluar daripada kategori berkenaan.
Katanya, pencapaian itu bukan sekadar bantuan sekali lalu, sebaliknya hasil usaha meningkatkan ruang dan peluang ekonomi kepada rakyat.
Beliau menyifatkan semua pencapaian itu menggambarkan kepimpinan Ketua Menteri sebagai arkitek pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
“Namun semua ini perlu dipelihara. Kestabilan politik adalah kuncinya. Janganlah kerana terlalu ghairah mahu berkuasa, fakta di depan mata pun mahu dinafikan.
“Angka sudah jelas bersuara. Yang lain itu hanyalah lakonan tidak menjadi,” katanya.






























