KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh asas ekonomi dan mempercepat agenda pembangunan mampan menerusi pelbagai inisiatif strategik.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menegaskan bahawa negeri ini telah menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh dalam tempoh lima tahun lalu walaupun berdepan cabaran global dan domestik yang mencabar.
“Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi, dengan pencapaian pelaburan sektor pembuatan mencecah RM7.6 bilion pada tahun lalu, iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan pada pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, hari ini.

Tun Musa berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Sabah serta keberkesanan dasar pembangunan negeri yang dilaksanakan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkukuh pembangunan melalui pendekatan inklusif dan mampan yang menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur.
Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 menjadi kerangka utama pembangunan negeri dengan mengekalkan tiga teras utama iaitu sektor pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Pelan ini turut diperkukuh dengan penekanan kepada ekonomi biru, pendigitalan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak 1,173 projek pembangunan dirancang di Sabah melibatkan 933 projek baharu dengan jumlah siling peruntukan RM12.024 bilion.
Katanya, peningkatan sebanyak 141.62 peratus berbanding RMK12 itu membuktikan komitmen kerajaan dalam mempercepat pembangunan negeri secara menyeluruh.

Mengulas sektor perindustrian, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh infrastruktur taman perindustrian sedia ada serta merancang pembangunan kawasan baharu khususnya di luar bandar bagi merangsang pelaburan.
Selain itu, ekosistem keusahawanan negeri akan diperkasakan melalui Program Pembangunan Keusahawanan Negeri yang memberi fokus kepada aspek tadbir urus, pemasaran, latihan dan pembangunan kemahiran usahawan.
“Langkah ini bertujuan memastikan pembangunan usahawan dilaksanakan secara lebih tersusun dan bersepadu, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sektor pembuatan akan terus diperkasa bagi menyokong pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan, seterusnya meningkatkan potensi eksport dan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Dalam sektor pertanian pula, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pemodenan melalui pelaksanaan Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil.
Katanya, Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025–2030 turut diperkenalkan bagi merancakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan keterjaminan makanan.

“Program Kebun Dapur yang diperkenalkan di bawah inisiatif ini mampu membantu mengurangkan kos sara hidup selain menggalakkan pengeluaran makanan di peringkat isi rumah,” katanya.
Beliau berkata, sektor perladangan, khususnya industri sawit, kekal sebagai tunjang ekonomi negeri dengan usaha berterusan meningkatkan produktiviti melalui inovasi, mekanisasi dan teknologi pertanian moden.
Sementara itu, sektor perikanan akan dipacu melalui pendekatan Ekonomi Biru dengan penambahbaikan fasiliti termasuk peningkatan kapasiti jeti bagi menampung pertambahan hasil pendaratan ikan.
Dalam sektor pelancongan, Kerajaan Negeri menyasarkan lebih empat juta ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta merancang penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 bagi merancakkan industri itu.
Beliau berkata, pembangunan pelancongan akan memberi fokus kepada kepelbagaian produk baharu, penglibatan komuniti serta pemerkasaan pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi.
Dari segi infrastruktur, Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, bekalan air, elektrik serta sistem pengangkutan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Pelaksanaan projek seperti Program Non-Revenue Water, pelan pembekalan elektrik jangka panjang serta projek pengangkutan akan memperkukuh jaringan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda pendigitalan melalui penggunaan AI akan diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, mempercepat proses membuat keputusan dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
Menurutnya, pembangunan modal insan juga kekal sebagai keutamaan dengan penekanan kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri.
Mengulas pembangunan seimbang, beliau berkata, Kerajaan Negeri komited merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur asas serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan.
“Kerajaan juga merancang pembangunan pekan baharu di beberapa daerah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sabah berpotensi menjadi hab Ekonomi Biru negara dengan pelbagai inisiatif yang sedang dirancang termasuk pembangunan taman perindustrian berasaskan Ekonomi Biru.
Beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan negeri demi memastikan Sabah terus mencapai kemajuan yang mampan dan inklusif.
“Perancangan ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan semua pihak. Sudah tiba masanya kita bersatu hati untuk membangunkan negeri ini demi kesejahteraan bersama,” katanya.






























