Ewon bergambar bersama para penerima anugerah utama.
KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) merekodkan pengendalian kargo sebanyak 532,391 TEUs pada 2025, peningkatan ketara berbanding 386,293 TEUs pada tahun sebelumnya yang menjadi petunjuk pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu mencerminkan keperluan meningkatkan kecekapan pelabuhan dalam menyokong perdagangan, industri dan pelaburan di Sabah.
“Pelabuhan bukan sekadar pusat logistik, tetapi merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan industri, perdagangan dan pelaburan negeri.
“Kecekapan dan daya saing pelabuhan akan menentukan sejauh mana kita mampu menarik pelabur serta meningkatkan kedudukan Sabah dalam rantaian perdagangan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 LPPS di Sutera Harbour, di sini, malam tadi.
Ewon berkata, selaras dengan aspirasi “Better Ports, Better Sabah”, pembangunan sektor pelabuhan perlu terus diperkasa agar lebih moden, cekap dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Menurutnya, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) yang dijangka siap pada hujung tahun hadapan diyakini mampu meningkatkan kapasiti serta kecekapan pengendalian pelabuhan di negeri ini.
“Usaha ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab logistik serantau serta membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui sektor pelabuhan berdepan beberapa cabaran operasi termasuk di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan.
Namun katanya, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan proaktif dan bersepadu bagi memastikan setiap isu ditangani secara berkesan dan berterusan.
“Antaranya termasuk pelaksanaan lapan Pelan Tindakan Interim yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Februari lalu serta sesi libat urus bersama pemain industri pada 5 Mac, seterusnya saya turut mempengerusikan Task Force Memantau Pelaksanaan Inisiatif-Inisiatif Interim tersebut yang bersidang pada 21 April baru-baru ini.
“Saya juga telah turun padang ke beberapa pelabuhan bagi meninjau sendiri situasi dan memastikan isu-isu yang berbangkit ditangani dengan segera,” katanya.
Ewon berkata, hasil pendekatan itu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan keyakinan dalam kalangan pengguna pelabuhan terhadap usaha penambahbaikan yang dilaksanakan.
Pada majlis itu, Ewon menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 kepada 47 kakitangan LPPS sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan sumbangan mereka sepanjang tahun lalu.
































