Hajiji bersama Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kiri) dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar (kanan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, peningkatan harga minyak global serta gangguan rantaian bekalan tenaga susulan konflik di Asia Barat berpotensi memberi kesan berantai kepada ekonomi Sabah.
Beliau berkata, situasi itu boleh mencetuskan lonjakan kos operasi, logistik dan harga barangan di pasaran, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi.
“Implikasinya, kuasa beli rakyat akan terjejas, kos sara hidup meningkat dan momentum pertumbuhan ekonomi boleh menjadi perlahan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang bertanya tentang langkah segera Kerajaan Negeri untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat serta risiko kenaikan harga minyak global akibat konflik antarabangsa.
Ketua Menteri berkata, sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi mengawal kenaikan harga barang.
“Pada masa ini, harga petrol RON95 dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter, manakala harga diesel bersubsidi ditetapkan RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah turut konsisten menyuarakan kepentingan mengekalkan subsidi diesel sebagai langkah kritikal bagi mengawal kos pengangkutan.
“Ini penting untuk mengelakkan pemindahan beban kos kepada pengguna serta memastikan kelangsungan perniagaan tempatan yang sensitif terhadap perubahan kos input,” jelasnya.
Beliau berkata, di peringkat Persekutuan, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) bagi memantau bekalan bahan api dan tenaga negara secara berterusan.
Katanya, pasukan itu turut merangka langkah mitigasi termasuk kawalan harga dan penguatkuasaan bagi membendung penyeludupan serta penyelewengan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Antaranya melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan kepada 100,000 penerima, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada 140,000 penerima melibatkan peruntukan RM339.16 juta.
“Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan program Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Beliau berkata, lebih 800,000 penerima di Sabah mendapat manfaat daripada STR dan SARA dengan jumlah peruntukan mencecah RM1.25 bilion.
Selain bantuan langsung, Kerajaan Negeri turut menggalakkan amalan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur bagi membantu isi rumah menjimatkan perbelanjaan harian serta meningkatkan daya tahan terhadap kenaikan harga makanan.
Katanya, penggunaan produk tempatan juga digalakkan kerana lebih berpatutan serta mampu merangsang permintaan domestik dan menyokong industri tempatan.
Bagi mengurangkan beban kos utiliti, Hajiji berkata, Kerajaan melaksanakan Program Rebat Bil Elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah berdaftar dengan eKasih.
Selain itu, diskaun 10 peratus diberikan kepada rumah kebajikan, rumah ibadah serta institusi pendidikan kerajaan dan separa kerajaan, selain sektor pertanian, akuakultur dan perikanan.
“Kerajaan juga meneruskan pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) dengan diskaun 20 peratus kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah bagi mengurangkan beban peniaga kecil,” katanya.
Dalam usaha jangka sederhana dan panjang, beliau berkata, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada sekuriti makanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Sebanyak RM102.86 juta diperuntukkan bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, ternakan dan perikanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import serta meningkatkan tahap sara diri.
Hajiji berkata, lima daerah dikenal pasti sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan.
“Antara projek berimpak tinggi termasuk Pusat Ternakan Bersepadu Keningau serta pembangunan penternakan lembu tenusu di Sook bagi mengurangkan kebergantungan kepada import daging dan produk tenusu,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kecekapan logistik dalam menstabilkan harga barangan di Sabah.
Katanya, pembesaran Pelabuhan Sepanggar melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan kapasiti kargo serta mengurangkan kos logistik.
Selain itu, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah bekerjasama dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) termasuk melaksanakan kajian Pelan Tindakan Penstabilan Harga oleh Universiti Malaysia Sabah.
Dalam sektor perniagaan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited memperkukuh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui pengembangan pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan kelangsungan perniagaan dalam keadaan ekonomi mencabar.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan krisis global ini serta mengambil langkah berhemah bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat agar menggunakan bahan api secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta berbelanja secara bijak tanpa pembelian panik bagi memastikan bekalan kekal stabil.
































